PAS akan pertahan Unit Amal - Mat Sabu

Bernama
September 2, 2014 11:13 MYT
MOHAMAD SABU: PAS akan pertahan Unit Amal jika ia berdepan tindakan sama seperti PPS.
PAS akan mempertahankan Unit Amalnya jika ia berdepan tindakan sama seperti Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang, kata timbalan presiden Mohamad Sabu.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata setakat ini tiada tindakan diambil terhadap unit itu dan pihak parti hanya mendapat tahu tentang perkara tersebut melalui media.
Unit Amal PAS bertanggungjawab ke atas keselamatan ketika majlis melibatkan parti.
"Kami akan pertahankan Amal Unit (jika dikenakan tindakan). Setakat ini tiada apa yang berlaku, kami sedang menunggu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam anjuran PAS Pulau Pinang di sini, Isnin malam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa persatuan atau organisasi tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan berdepan nasib sama sepertimana PPS.
Semalam, polis menahan lebih daripada 150 anggota PPS di George Town kerana ingkar amaran untuk tidak mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang turut hadir, berkata kerajaan negeri akan memberikan sumbangan RM200 sehari kepada setiap anggota PPS yang ditahan serta menganjurkan majlis khas sebagai menyanjungi sumbangan dan pengorbanan mereka.
#Mohamad Sabu #PAS #PPS #Uni Amal
;