PAS akan kemuka lagi RUU hudud jika gagal dibahas di Parlimen hari ini - Nik Abduh

T K Letchumy Tamboo
Mei 26, 2016 15:18 MYT
Menurut Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (gambar), ia terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan RUU itu dibahaskan.
PAS akan mencuba untuk mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355- Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengenai pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah, sekali lagi, sekiranya ia gagal untuk dibahaskan di Parlimen hari ini.
Menurut Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, ia terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan RUU itu dibahaskan.
"Kita parti PAS, kita usahakan. Ini kali keempat... hari ini hari terakhir (Parlimen), jadi kita tidak tahu adakah Speaker akan benarkan (untuk dibahas) petang ini.
"Kita tengok dulu. Kalau tidak berjaya, kita akan cuba lagi," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.
Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengemukakan rang undang-undang persendirian berhubung pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Dewan Rakyat.
Rang undang-undang persendirian itu disenaraikan sebagai agenda terakhir dalam aturan mesyuarat pada hari akhir sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ini adalah kali ketiga Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan rang undang-undang yang serupa ke Parlimen selepas dua cubaan sebelum ini pada tahun lepas.
#Abdul Hadi Awang #jenayah syariah #nik abduh #PAS #RUU Hudud
;