PAS akan bantu Anwar di Kajang - Hadi
Haider Yutim
Februari 4, 2014 10:50 MYT
Februari 4, 2014 10:50 MYT
PAS memaklumkan akan membantu jentera PKR dalam menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang bakal diadakan nanti.
Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang dalam satu kenyataan, tindakan itu adalah bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini.
“Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu YB Dr Mohd Hatta Ramli pula dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini,” katanya.
Kata Hadi, keputusan tersebut telah dibuat berdasarkan Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya yang diadakan jam 9.00 malam tadi.
Jelas beliau, antara agenda yang dibincangkan termasuk isu-isu politik antarabangsa dan tanahair, serta isu PRK di Kajang.
Selain itu, Hadi juga menegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah ‘tidak berbangkit’.
PKR pada 28 Jan telah menamakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR pada hari tersebut.
Pengumuman itu adalah berikutan kekosongan kerusi DUN Kajang ekoran perletakan jawatan penyandangnya yang juga dari PKR dan mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk meletakkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili PR.
Sehari sebelum itu, ADUN Kajang Lee Chin Cheh, telah meletakkan jawatannya yang disebut-sebut bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
Anwar bagaimanapun menafikan beliau akan mengambil alih tempat Khalid sebagai Menteri Besar Selangor apabila ditanya wartawan sambil mengatakan dakwaan itu hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi.
Dalam pada itu, PAS turut mengecam hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006), Maulana Matiur Rahman Nizami.
Menurut Hadi, Nizami yang juga merupakan ketua Bangladesh Jamaat-e-Islami itu telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan.
“PAS mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa,” tambahnya.