Parti politik perlu hantar blogger kursus asas penulisan dan etika - Kadir Jasin
Astro Awani
Januari 15, 2014 12:22 MYT
Januari 15, 2014 12:22 MYT
Tokoh wartawan kebangsaan, Datuk A. Kadir Jasin menyarankan agar UMNO dan mana-mana parti politik yang ingin menggunakan khidmat blogger secara berhemah, bermaruah dan membina agar menaja mereka yang bukan wartawan menghadiri kursus asas penulisan, undang-undang dan etika.
Jelas Kadir, blogger-blogger politik hendaklah menjawab hujah lawan dan bukan menyerang peribadi mereka, apatah lagi memfitnah.
"Blogger politik tidak akan dapat meyakinkan khalayak dan menarik sokongan kepada parti atau majikan mereka kalau mereka gagal mematahkan hujah lawan mereka dengan mengemukakan hujah yang kukuh dan bernas.
"Kaedah membunuh pembawa khabar (messenger) tidak akan berkesan kalau khabar (message) yang dibawanya tidak dipatahkan. Pembawa khabar mungkin terkorban, tetapi khabar yang dibawanya akan terus tersebar," katanya dalam blog beliau The Scribe pada Selasa.
Dalam tulisannya itu, Kadir berkata bukan semua blogger politik ada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kewartawanan, penulisan dan komunikasi.
"Majoriti adalah aktivis parti yang bukan wartawan atau penulis. Oleh kerana mereka tidak berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang kewartawanan, penulisan dan komunikasi maka mereka kurang arif mengenai undang-undang, etika dan psikologi komunikasi," katanya.
Kadir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Unit Media Baru Pemuda UMNO Malaysia, Ibdillah Ishak yang dilaporkan melahirkan rasa kurang senangnya dengan gelagat bloggers pro UMNO yang suka meminta upah untuk menjatuhkan pemimpin dan personaliti awam.