Parti pembangkang Semenanjung tidak minat perjuangkan hak Sabah

Bernama
April 17, 2018 06:25 MYT
Chia mendakwa, parti pembangkang dari Semenanjung di Sabah, tidak berani memperjuangkan hak autonomi negeri itu kerana mereka perlu menjawab kepada ketua mereka di Semenanjung. - Gambar hiasan
Parti pembangkang dari Semenanjung dan rakan sekutu tempatan hanya memberi tumpuan untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak ikhlas untuk memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Melanie Chia berkata kenyataan DAP dan pemimpin parti pembangkang dari Semenanjung baru-baru ini menunjukkan mereka hanya akan memperjuangkan hak rakyat Sabah sekiranya mereka dapat membentuk kerajaan.
"Parti pembangkang dari Semenanjung di sini, tidak berani untuk memperjuangkan hak autonomi Sabah kerana mereka perlu menjawab kepada ketua mereka di Semenanjung," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Mengenai parti tempatan seperti Parti Warisan Sabah (Warisan), Chia berkata mereka terpaksa bersekutu dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadikan mereka lebih kuat daripada yang sebenarnya.
"Mereka (Warisan) sebaliknya tunduk kepada parti pembangkang dari Semenanjung dan akan senada dengan pemimpin parti pembangkang Semenanjung," katanya.
Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin baru-baru ini berkata PH dan Warisan adalah kumpulan pembangkang utama di negeri itu.
Chia berkata pakatan parti pembangkang tempatan Gabungan Sabah, yang SAPP adalah komponen gabungan itu, telah mengemukakan pelan komprehensif dalam manifesto pilihan rayanya untuk mengembalikan hak Sabah seperti yang diperuntukkan dalam MA63 dan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #chan foong hin #DAP #hak #Melanie Chia #Pakatan Harapan #Parti Warisan Sabah #pembangkang #Perjanjian Malaysia 1963 #rakyat #Sabah #SAPP
;