Parti liar di Terengganu: Polis tunggu perjumpaan exco dengan pemilik resort

Bernama
Mei 22, 2024 22:45 MYT
Azli berkata pihaknya bagaimana pun belum menerima sebarang laporan berkenaan isu tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan menunggu perjumpaan antara kerajaan negeri dengan pemilik sebuah resort persendirian di Pulau Lang Tengah di sini, sebelum menjalankan siasatan dan tindakan lanjut berhubung dakwaan menganjurkan sebuah parti liar di pulau peranginan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya bagaimana pun belum menerima sebarang laporan berkenaan isu tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini.
"Kita bergantung kepada perjumpaan antara exco (Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris) dengan pemilik resort yang dijadualkan esok.
"Bagaimana pun setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan berkenaan perkara tersebut. Kawasan peranginan itu juga adalah kawasan persendirian yang khas untuk pelancongan dan tidak ada orang kampung pun di sana," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau menambah, pihak polis juga tidak menerima sebarang permohonan permit penganjuran parti di pulau tersebut.
Baru-baru ini tular poster dan gambar memaparkan wanita berpakaian tidak sopan menghadiri sebuah parti liar dinamakan Aloha Party yang didakwa diadakan di Pulau Lang Tengah.
Ia menimbulkan reaksi kurang senang sesetengah pihak dengan menyifatkan parti tersebut tidak sesuai diadakan di Terengganu.-- BERNAMA
#media sosial #tidak sopan #permohonan permit #pemilik resort
;