Parti komponen PN, PBS yakin kemampuan Ismail Sabri sebagai TPM

Eleanor Michelle Patrick
Julai 7, 2021 19:48 MYT
Beberapa parti komponen dan rakan kongsi Perikatan Nasional (PN) di Sabah menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.
KUALA LUMPUR: Beberapa parti komponen dan rakan kongsi Perikatan Nasional (PN) di Sabah menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Kanan Luar.
Bagi Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, rombakan kecil dalam jemaah menteri itu akan mengukuhkan kerajaan dan barisan Kabinet PN.
Tambah Maximus, pelantikan Ismail Sabri disifatkan tepat kerana beliau menjalankan tugas dengan baik sebagai Menteri Kanan Pertahanan terutama dalam mengawal dan menangani situasi COVID-19 negara.
"PBS juga yakin Hishammuddin akan menjalankan tugasnya dengan baik sebagai menteri kanan mengetuai kluster keselamatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
BACA: Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin Menteri Kanan Luar Negeri - PMO
Dalam perkembangan lain, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan yakin pengalaman memegang beberapa portfolio penting dalam kerajaan memboleh Ismail Sabri membantu Perdana Menteri menggalas tanggungjawab terutama menangani pandemik COVID-19.
Jelas Jeffrey beliau tidak ragu akan pelantikan itu dan menyifatkan ia akan memperkukuh kerajaan sekali gus menstabilkan situasi politik negara.
Selain itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup pula menyifatkan pelantikan itu akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat dalam tempoh yang sukar ini.
Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin akan mengukuhkan pimpinan kerajaan PN dalam memfokuskan usaha terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin Menteri Kanan Luar Negeri - PMO
#ismail sabri yaakob #jawatan Timbalan Perdana Menteri #Perikatan Nasional #Maximus Ongkili #PBS #Parti Bersatu Sabah #PBRS #STAR #Hishammuddin Hussein
;