Parti komponen PH digesa kembali fokus isu rakyat - Syed Saddiq

Bernama
Februari 22, 2020 18:29 MYT
Parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) harus kembali memberi fokus kepada isu-isu rakyat, gesa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Gambar fail
Semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) digesa kembali memberi fokus kepada isu-isu rakyat susulan keputusan Majlis Presiden PH semalam yang telah memuktamadkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri.
Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, dalam mesyuarat itu, permuafakatan pimpinan parti komponen PH telah bersetuju memberikan ruang sepenuhnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara.
"Keputusan itu sudah jelas kerana tidak ada tempoh masa yang ditetapkan (untuk peralihan kuasa)... kita beri ruang yang sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk mentadbir negara.
"Kerana fokus utama sekarang adalah untuk memastikan isu-isu rakyat dapat diselesaikan, cukuplah untuk kita bincangkan, kita ketagih dan buta dengan isu transisi (peralihan kuasa)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pokok Sena, di sini hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, antara isu rakyat yang harus diberi perhatian segera termasuk peluang pekerjaan dan perumahan mampu milik untuk golongan muda serta isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sementara itu, Syed Saddiq menafikan dakwaan bahawa pada mesyuarat semalam, pimpinan Bersatu ada menyatakan untuk menimbang akan keluar PH jika Dr Mahathir terus diberikan tekanan.
Beliau berkata, tidak seorang pun pimpinan Bersatu yang mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyarankan agar Majlis Presiden PH melakukan siasatan bagi mengenal pasti pemimpin yang membuat dakwaan tersebut.
"Konsep ugutan untuk (Bersatu) keluar (dari PH) itu adalah fitnah, yang jelas tidak betul. Yang ada ialah perbincangan melalui saluran demokrasi yang betul.
"Memang kita berbincang dan hangat tetapi (ia) biasa. Ada yang menyatakan pandangan dan kita cari penyelesaian melalui saluran demokrasi juga," katanya. - BERNAMA
BACA: Hormati keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH - Anwar Ibrahim
BACA: Peralihan kuasa: Terpulang pada saya untuk melepaskan ataupun tidak - Tun M
#Anwar Ibrahim #Ketua Pemuda Pakatan Harapan #Mahathir Mohamad #peralihan kuasa #Perdana Menteri #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;