Parlimen: Usul tubuh Suruhanjaya Diraja siasat 1MDB ditolak
Astro Awani
Mac 12, 2015 16:08 MYT
Mac 12, 2015 16:08 MYT
Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata keputusan itu dibuat berikutan Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berpendapat usul itu tidak perlu disegerakan.
"Jabatan Audit Negara sedang menjalankan siasatan terhadap syarikat berkenaan dan laporan itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Sekarang adalah sesi untuk perbahasan titah ucapan dan Yang Berhormat sendiri dan beberapa Yang Berhormat lain juga sudah berucap mengenainya.
"Kita tunggulah penjelasan daripada Menteri apabila menggulung perbahasan nanti," katanya semasa sesi perbahasan di Parlimen hari ini.
Pandikar Amin dalam surat kepada Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) menjelaskan alasan penolakan usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata, siasatan ke atas 1MDB akan tertumpu kepada rekod akaun terdahulu sejak 2009 selepas didakwa tidak pernah diaudit.
Jelas Ambrin, syarikat pelaburan dana negara itu tersebut didakwa terlibat dalam beberapa pelaburan meragukan, malah audit ke atas urusniaga yang dijalankan firma Deloitte bagi tahun kewangan 2013 tidak termasuk sejak awal penubuhannya pada 2009.
1MDB ditubuhkan pada 2009 diilhamkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga penasihat kepada ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Bagaimanapun, kebelakangan ini skandal melibatkan 1MDB mendapat perhatian khususnya selepas beberapa pendedahan mengenai beberapa pelaburan seperti di Pulau Cayman serta PetroSaudi International.
Dalam pada itu, Ambrin juga sebelum ini dlaporkan tidak menolak akan membawa pakar daripada luar sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan dalam 1MDB.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menjelaskan, pihaknya hanya akan menjalankan siasatan jika audit terhadap 1MDB oleh Jabatan Audit Negara mengesan sebarang percanggahan.
Katanya, polis juga akan menunggu laporan Ambrin mengenai perkara ini.