Parlimen: Upah lebih RM80 sejam punca rakyat Malaysia bekerja di luar negara - Awang Hashim
Hasimi Muhamad
November 1, 2021 10:30 MYT
November 1, 2021 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan rakyat hari ini diberitahu bahawa kadar upah yang tinggi menjadi faktor rakyat Malaysia sanggup mencari pekerjaan di negara-negara maju termasuk di Australia dan Korea Selatan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata di Australia dan Korea Selatan misalnya menawarkan kadar upah masing-masing sekitar RM84 dan RM33 sejam.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini tiada aduan yang dibuat terhadap agensi pekerjaan swasta yang berlesen melakukan eksploitasi terhadap pekerja Malaysia yang bekerja di luar negara.
"Kadar upah yang tinggi ini secara tidak langsung menarik pencari kerja tempatan untuk bekerja di luar negara.
"Bagi mengatasi masalah eksploitasi rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia, melalui akta yang telah diadakan iaitu Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) telah memperuntukkan mana-mana syarikat yang ingin menjalankan aktiviti merekrut pencari kerja tempatan perlu memperoleh lesen Kategori B atau C di bawah akta tersebut.
"Akta ini turut memperuntukkan tiada seorang pun boleh menjalankan aktiviti merekrut melainkan telah diberikan satu lesen tersebut.
"Melalui peruntukan tersebut semua agensi swasta yang berlesen hendaklah menjalankan kerja-kerja mengikut terma-terma yang ditetapkan kerajaan Malaysia secara sah," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) meminta kementerian menyatakan apakah kadar upah yang tinggi menjadi punca ramai rakyat Malaysia sanggup bekerja secara haram di Australia dan Korea Selatan dan apakah tindakan yang diambil bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi buruh paksa di negara-negara terbabit.
Dalam masa yang sama, mana-mana orang yang melanggar peruntukan Akta 246 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit bersalah.
Justeru, beliau menasihatkan pencari kerja tempatan menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta yang berlesen dengan kementerian untuk bekerja di luar negara.