Parlimen sudah dibubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tidak lagi relevan
Bernama
Oktober 19, 2022 19:58 MYT
Oktober 19, 2022 19:58 MYT
KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat kini bersifat akademik kerana Parlimen sudah dibubarkan, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, oleh itu, Najib tidak seharusnya dibenar meneruskan permohonan semakan kehakimannya susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas.
"Ini boleh dilihat daripada pelbagai laporan berita dan paling penting, pengisytiharan mengenai pembubaran Parlimen telah pun diwartakan," katanya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.
Beliau berkata demikian ketika membantah permohonan Najib untuk memperoleh kebenaran bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.
Katanya, dakwaan dan aduan yang menjadi asas semakan kehakiman Najib tidak lagi boleh dipertahan manakala relif yang dipohon terhadap responden sudah bersifat akademik dan tidak mempunyai kesan praktikal.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah bahawa permohonan anak guamnya masih relevan kerana ia boleh berlaku pada masa akan datang.
"Sehingga hari ini, kita tidak tahu sama ada beliau (Najib) masih lagi calon prospektif sebagai Ahli Parlimen Pekan.
"Tidak mustahil anak guam saya menyaman Jabatan Penjara kerana hak beliau untuk menghadiri Parlimen telah dinafikan," katanya.
Ahmad Kamal menetapkan 27 Okt ini untuk memutuskan permohonan Najib.
Pada 5 Okt lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.
Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.
Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan telah disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 Sept.
Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.
Najib berkata menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan. - BERNAMA