Parlimen: Subsidi bersasar RON95 perlu dibuat, elak ketirisan subsidi - Amir Hamzah
Bernama
November 5, 2024 14:15 MYT
November 5, 2024 14:15 MYT
KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi petrol RON95 perlu dilakukan kerana berlaku ketirisan subsidi melibatkan penggunaan oleh golongan yang tidak sepatutnya berikutan perbezaan harga petrol yang besar, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.
Ringkasan AI
- Ketirisan Subsidi Petrol RON95: Subsidi petrol RON95 mengalami ketirisan kerana digunakan oleh golongan yang tidak sepatutnya, termasuk bukan warganegara, sektor komersial, dan aktiviti penyeludupan, yang menyumbang kepada 40% penggunaan keseluruhan.
- Penjimatan Potensi: Jika ketirisan subsidi dapat ditangani, kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion setahun daripada subsidi petrol RON95 yang berjumlah RM20 bilion setahun.
- Inisiatif MyBUDI: Penyusunan subsidi diesel melalui inisiatif MyBUDI telah menunjukkan penurunan penjualan diesel bersubsidi di stesen minyak dan peningkatan penjualan diesel komersial, menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan.
Beliau berkata berdasarkan data semasa, dianggarkan penggunaan petrol bagi segmen bukan warganegara, komersial dan aktiviti penyeludupan mencecah 40 peratus daripada kadar penggunaan keseluruhan petrol.
"Memandangkan tahap subsidi petrol RON95 sekitar RM20 billion setahun, jika ketirisan (subsidi petrol) terhadap warga asing, komersial dan golongan kaya dapat ditangani ia bakal menjana penjimatan sehingga RM8 billion setahun," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung mekanisme kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi petrol kepada bukan warganegara dan golongan T15, serta pada masa sama memastikan golongan B40 dapat menikmati subsidi bersasar petrol RON95 kelak.
Menjawab soalan asal Aminolhuda mengenai keberkesanan penyasaran subsidi diesel menerusi inisiatif MyBUDI, Amir Hamzah berkata berdasarkan data terkini terdapat penurunan mendadak terhadap penjualan diesel di stesen minyak, sekali gus mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan bahan api itu.
Beliau berkata penjualan diesel di stesen minyak turun sekitar 25 peratus atau hampir tujuh juta liter sehari, manakala penjualan diesel secara komersial menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus atau empat juta liter sehari yang menunjukkan sektor industri berhenti membeli diesel bersubsidi.
"Berdasarkan data awal, penyasaran subsidi diesel setakat ini telah menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan.
"Pada masa sama, kadar inflasi kekal pada tahap terkawal dan baru-baru ini menunjukkan penurunan dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI) 2.0 peratus pada Julai 2024, 1.9 peratus (Ogos) dan 1.8 peratus (September)," katanya.
Bagi inisiatif MyBUDI, Amir Hamzah memaklumkan setakat 31 Okt, lebih 140,000 penerima BUDI Individu dan 65,000 penerima BUDI Agrikomoditi telah diluluskan dalam tempoh lima bulan pelaksanaan sejak Jun 2024, dengan jumlah bayaran sebanyak RM160 juta.
Beliau berkata menerusi inisiatif itu bantuan tunai BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun disediakan untuk golongan petani, pekebun kecil serta pemilik persendirian kenderaan diesel berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Berhubung penentuan pendapatan isi rumah yang layak untuk harga RON95 bersubsidi, Amir Hamzah menjelaskan perkara itu tidak ditentukan berdasarkan tahap pendapatan isi rumah Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semata-mata.
"Kerajaan masih meneliti pendekatan yang akan digunakan bagi menentukan Kumpulan T15 bagi penyasaran subsidi RON95 dan tidak akan terikat secara terus dengan definisi HIS.
"Kerajaan akan meneliti perkara ini sebelum ia dimuktamadkan, mengambil kira kriteria tambahan selain daripada pendapatan," katanya.
-- BERNAMA