Parlimen: "Saya dengar ucapan Kit Siang sampai habis walaupun 'sakit telinga'" - Anwar Ibrahim

Umavathi Ramayah
September 28, 2021 14:00 MYT
Anwar Ibrahim memberitahu, ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan, beliau tidak pernah ketinggalan untuk mendengar ucapan Ketua Pembangkang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Teluk Intan, Teluk Intan Nga Kor Ming mempersoalkan kehadiran menteri dan timbalan menteri pada sesi perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau mendakwa, blok kerajaan terutama yang menempatkan menteri dan timbalan menteri didapati kosong dengan hanya lima daripadanya hadir.
"Selaku Ketua Pembangkang, saya rasa adalah penting dalam aspek transformasi Parlimen. Ini apabila Ketua Pembangkang berucap (dewan kosong). Mengambil kira populasi, negara kita mempunyai Kabinet yang paling besar di dunia dengan 69 menteri dan timbalan menteri.
"Apakah ada kemungkinan untuk kita tetapkan kehadiran mereka untuk mendengar bahas Ketua Pembangkang sebagai salah satu usaha transformasi Parlimen?
"Saya sedih, hanya ada lima menteri dan timbalan menteri yang hadir, mana yang lain?" katanya yang mencelah ketika Anwar sedang membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Sehubungan itu, Kor Ming menggesa Ketua Whip dari blok kerajaan untuk mengambil langkah wajar bagi menangani perkara itu daripada terus berulang.
Sebagai reaksi kepada kenyataan itu, Anwar memberitahu, ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan, beliau tidak pernah ketinggalan untuk mendengar ucapan Ketua Pembangkang.
"Saya semasa Menteri Kewangan, setiap kali Ketua Pembangkang berucap saya akan hadir di depan dengar sampai habis walaupun 'sakit telinga' (hanya) Tuhan yang tahu.
"Waktu itu Ketua Pembangkang adalah Yang Berhormat Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri), ini etika Parlimen.
"Kita dengar ucapan Perdana Menteri walaupun kita tak bersetuju, kita tidak ganggu kerana dia agak sopan berbanding sebelum-sebelumnya," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Pun begitu, beliau berpendapat, kemungkinan menteri dan timbalan menteri mendengar dari bilik mereka di Dewan Rakyat yang mana berbeza daripada kehadiran fizikal.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Lim Kit Siang #pembangkang #Nga Kor Ming #Parlimen #Dewan kosong
;