Parlimen: 'Sajat sudah ditahan, Jho Low bila lagi?' Soal RSN Rayer

Umavathi Ramayah
September 23, 2021 16:45 MYT
Penahanan Muhammad Sajjad Kamaruzaman atau Nur Sajat di Thailand baru-baru ini menjadi analogi kepada kes ahli perniagaan, Jho Low. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penahanan Muhammad Sajjad Kamaruzaman atau Nur Sajat di Thailand baru-baru ini menjadi analogi kepada kes ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.
RSN Rayer (DAP-Jelutong) membangkitkan persoalan itu sama ada kerajaan akan bertindak agresif dalam menggiatkan pencarian Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Umum mengetahui bahawa Muhammad Sajjad Kamaruzaman telah ditahan di Thailand dan akan dibawa masuk ke Malaysia untuk menghadapi tuduhan. Soalan saya adalah, bagaimana pula dengan Jho Low?
“Apakah tindakan yang akan diambil? Adakah kerajaan akan melakukan tindakan yang sama malah lebih agresif untuk mengesan dan membawa balik Jho Low atau tindakannya akan lebih perlahan sekarang kerana Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah menjadi backbencher kerajaan sekarang?” soalnya.
Menjawab soalan itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menyifatkan Rayer sebagai nakal memberitahu, perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya.
"Jelutong ini nakal, terima kasih kepada soalan itu. Tapi ini bukan bidang kuasa saya. Tapi saya rasa tak adil ayat yang terakhir itu Yang Berhormat Jelutong, ada maksud yang tersirat.
"Saya akan tanya pada menteri yang berkaitan untuk perkara ini," ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang usahawan kosmetik yang ditahan di Thailand, pada 8 September lalu.
BACA: Thailand belum buat keputusan mengenai Nur Sajat
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand.

*Jom kita pantau apa Ahli Parlimen buat pada 13 hingga 15 September; 20 hingga 23 September; 27 hingga 30 September; 4 hingga 7 Oktober; dan 10 hingga 11 Oktober di sini.
#1Malaysia Development Berhad #Saifuddin Abdullah #usahawan kosmetik #Najib Razak #1MDB #Kementerian Luar #Sajat #Jho Low #Thailand
;