Parlimen: RUU Pemuliharaan Hidupan Liar diluluskan, denda naik 100 peratus
Umavathi Ramayah
Oktober 26, 2021 17:13 MYT
Oktober 26, 2021 17:13 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (pindaan) 2021.
Dengan ini, penjenayah pemerdagangan hidupan liar, khasnya pemburu haram bakal berdepan dengan denda mencecah RM1 juta, yang menyaksikan peningkatan denda 100 peratus berbanding hukuman sedia ada pada ketika ini.
Cadangan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 itu diluluskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 10 Februari lalu sebelum dibentangkan di Parlimen.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika membentangkan Akta 716 untuk bacaan kedua berkata, selain itu, hukuman penjara maksimum turut ditingkatkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun.
"Hukuman-hukuman ini dilihat sebagai bersifat pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku jenayah terbabit," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Takiyuddin menjelaskan, pindaan rang undang-undang itu adalah lebih responsif kepada keperluan semasa dalam membanteras jenayah hidupan liar.
Ini kerana katanya, penguatkuasaan Akta 716 sedia ada tidak dapat menurunkan kadar jenayah hidupan liar yang akan menyebabkan kepupusan hidupan.
"Jadi pendekatan ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi hidupan liar malah turut juga melindungi habitatnya," tambahnya.
Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan semua negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan turut melaksanakan online public consultation antara tahun 2019 hingga Julai lalu.
Menurutnya, hasil rundingan awam mendapati sebanyak 97 peratus responden bersetuju dengan cadangan pindaan Akta 716.
Beliau menjelaskan pindaan rang undang-undang itu akan merangkumi pindaan kepada 63 peruntukan, pemansuhan tujuh peruntukan dan pengenalan lima peruntukan baharu.
Takiyuddin berkata, antara seksyen baharu yang dimasukkan dalam rang undang-undang itu adalah Seskyen 88A dan 88B yang memperuntukan hukuman bagi mereka yang menganjurkan pertunjukan hidupan liar dan mempromosi hidupan liar.
Bagi Seksyen 88A pula katanya, individu dilarang untuk menganjurkan pertunjukan hidupan liar melainkan pemegang permit untuk mengendalikan zoo.
"Mana-mana individu yang melanggar seksyen berkenaan dianggap melakukan kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Sementara bagi Seksyen 88B, tiada seorang pun boleh mempromosi mana-mana hidupan liar atau mana-mana bahagian atau terbitan mana-mana hidupan liar bagi urusan berniaga melainkan jika dia peniaga berlesen atau pemegang permit khas untuk menjalankan urusan berniaga," ujarnya lagi.
Menurutnya, individu yang melanggar seksyen itu boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.