Parlimen: PM tegur Saifuddin tidak ikut kod etika pakaian

Umavathi Ramayah
Julai 2, 2024 07:06 MYT
Saifuddin Nasution ditegur di Dewan Rakyat kerana tidak mematuhi etika berpakaian. - Foto Japen
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mematuhi etika berpakaian pada sidang Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau membuat teguran itu selepas perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Hulu Terenggau, Datuk Rosol Wahib sebelum mengajukan soalan pada sesi soal jawab Perdana Menteri.
Menteri Dalam Negeri itu mengenakan baju batik sedangkan baju tersebut hanya dibenarkan dipakai pada Khamis sahaja.
"Yang Dipertua, saya nak tanya, etika berpakaian di Parlimen, batik boleh dipakai hari apa sebab nampak Menteri Dalam Negeri pakai batik hari ini," katanya.
Anwar sebelum menjawab soalan, meminta Saifuddin supaya mematuhi ketetapan peraturan pemakaian di Parlimen.
"Saya nak ingatkan Menteri Dalam Negeri, ikut peraturan Parlimen. Saya setuju dengan Hulu Terengganu (Rosol)," katanya.
Pada 2021, pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang dalam kalangan Ahli Parlimen dipersetujui boleh dipakai bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap Khamis.
#Saifuddin Nasution #Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #kod pakaian