Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Agong

Hasimi Muhamad
Jun 16, 2021 19:44 MYT
Perbincangan khas ini merupakan kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Jelas Ahmad Fadil lagi, Al-Sultan Abdullah amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu paltform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.
"Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin," demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Tambah Ahmad Fadil, dengan pembukaan semula Parlimen, ahli-ahli Dewan Rakyat juga boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya “exit strategy” bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.
"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat 80 peratus imuniti kelompok dapat dicapai seawal mungkin," tambah kenyataan itu lagi.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
Titah Al-Sultan Abdullah, ia mencerminkan keprihatinan tinggi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha-usaha memerangi penularan wabak COVID-19 di negara ini," katanya.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas
Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu atas inisiatif Al-Sultan Abdullah diadakan bagi membincangkan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
LAPOR LANGSUNG: Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu selesai
BACA: Sesi Perbincangan Khas YDP Agong dan Raja-raja Melayu selesai
Kesemua Raja-Raja Melayu hadir kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V difahamkan tidak menghadiri sesi kali ini.
Perbincangan khas itu berlangsung kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Ia merupakan kali kedua perbincangan khas seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019.
#Yang di-Pertuan Agong #Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu #Al-Sultan Abdullah #Covid-19 Malaysia #Darurat Malaysia #PKP 3 0 #MCO 3 0 #Istana Negara
;