Parlimen perlu bersidang secara kendiri - Pejuang
Astro Awani
Jun 26, 2021 13:15 MYT
Jun 26, 2021 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berpandangan sidang Parlimen harus dilaksanakan segera secara kendiri dengan mematuhi syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19, sepertimana dijalankan tahun lepas.
Ia bagi memenuhi tanggungjawab Ahli-ahli Parlimen membahas dan memutuskan tindakan perlu bagi membawa negara keluar dari krisis-krisis kesihatan, politik, ekonomi dan sosial.
Perkara itu dikemukakan Setiausaha Agung Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah dalam satu kenyataan hari ini.
"Persidangan kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat telah berjaya dilaksanakan pada tahun lepas tanpa ada sebarang jangkitan atau mewujudkan kluster Parlimen.
"Tambahan pula, pada ketika itu semua yang menyertai persidangan belum mendapat suntikan vaksin COVID-19, tidak seperti sekarang di mana hampir keseluruhan Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat telah sempurna mendapat suntikan vaksin yang diperlukan.
"Manakala pegawai-pegawai pengiring Ahli Parlimen sedang diusahakan untuk mendapat suntikan secepat mungkin," katanya mewakili Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat dari Pejuang.
Amiruddin berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkenaan pembukaan semula Parlimen setelah hampir tujuh bulan tidak bersidang.
Ia bagi menyambut titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 16 Jun 2021.
Kenyataan bersama itu mencadangkan sidang Dewan Negara dan Dewan Rakyat dilaksanakan secara hibrid sekitar akhir Ogos atau minggu pertama September 2021.
Sebelum itu, satu Sidang Khas Parlimen secara kendiri bakal diadakan pada awal Ogos 2021, tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sidang khas itu bagi membahas serta menerima resolusi yang berkaitan bagi membolehkan persidangan secara hibrid dilaksanakan.
#Dewan Rakyat
#Dewan Negara
#COVID-19
#vaksin
#ekonomi
#suntikan
#jangkitan
#MKN
#Parlimen
#Pejuang
#kendiri
#hibrid
#Amiruddin Hamzah
#Majlis Keselamatan Negara
#Kementerian Kesihatan
#kluster