Parlimen: Peningkatan inflasi perubatan punca tuntutan insurans kesihatan naik
Bernama
Februari 6, 2025 17:00 MYT
Februari 6, 2025 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan berterusan inflasi kos perubatan menyebabkan kadar tuntutan insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) semakin meningkat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ringkasan AI
- Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah interim untuk mengekang kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) akibat inflasi kos perubatan.
- Langkah interim ini memberi sokongan sementara kepada pemegang polisi, dengan 80% pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan kurang daripada 10%.
- Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan reformasi kesihatan menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj di hospital swasta.
Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil beberapa langkah interim bagi mengekang impak kenaikan premium MHIT kepada pemegang polisi yang berkuat kuasa mulai 15 Jan lepas.
Langkah interim tersebut ialah pengagihan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun sehingga akhir tahun 2026 dan penangguhan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan selama satu tahun bagi pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli.
"Selain itu, pemegang polisi yang telah menyerahkan polisi atau polisi mereka telah luput pada tahun 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium boleh menghubungi ITO (syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga) masing-masing untuk memohon polisi mereka diaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung jumlah keuntungan syarikat insurans nyawa setiap tahun sejak 2018 dan penyelesaian kontroversi kenaikan premium insurans perubatan setinggi 70 peratus dan langkah menghindarkan kos perubatan swasta dinaikkan dengan sewenang-wenangnya.
Beliau berkata langkah interim tersebut, memberi sokongan sementara kepada pemegang polisi dengan 80 peratus pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan kurang daripada 10 peratus yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan.
Sementara itu, Amir Hamzah turut memaklumkan bahawa purata keuntungan tahunan industri insurans dan takaful antara 2018 hingga 2023 adalah RM4.4 bilion daripada pengendali insurans hayat dan takaful keluarga (ITO).
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj di hospital swasta.
"Usaha ini termasuk melaksanakan model pembayaran Diagnostic Related Group (DRG) dan meningkatkan ketelusan kos ubat-ubatan serta perbandingan kos perubatan lazim.
"Langkah-langkah lain untuk membendung inflasi kos perubatan di hospital swasta juga sedang dibincangkan sebagai penyelesaian jangka panjang," katanya.
-- BERNAMA