Parlimen: Pembangunan semula Menara 2 untuk lancar operasi DBKL - Dr J.Loga
Bernama
Mei 28, 2015 21:48 MYT
Mei 28, 2015 21:48 MYT
Projek pembangunan semula Menara 2 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menempatkan pejabat cawangannya dilaksanakan bagi memastikan kelancaran operasi DBKL, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan.
Beliau berkata pejabat DBKL di beberapa lokasi lain pada masa ini mengalami isu seperti pengurusan logistik, pencarian dokumen, capaian telekomunikasi dan komunikasi yang tidak berkesan.
"DBKL telah merancang untuk meningkatkan operasi pengurusannya dengan memperkukuhkan pejabat cawangan dan menyatukan pejabat di pusat bandar untuk mengurangkan kos penyewaan, penyediaan kemudahan, logistik dan penyelenggaraan.
"Peningkatan operasi ini akan memudah dan mempercepatkan warga kota untuk berurusan dengan DBKL," katanya dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) yang meminta penjelasan mengenai keperluan mendirikan Menara 2 DBKL yang didakwanya membazir wang rakyat.
Loga Bala menjelaskan semasa pembeliannya, Menara 2 DBKL berada dalam keadaan agak usang dan memerlukan pengubahsuaian bangunan serta penggantian lif dan eskalator untuk memastikan keselesaan warga DBKL termasuk orang awam.
"Kos untuk mengubah suai bangunan bagi tingkat tujuh hingga 11 adalah sebanyak RM7 juta dan bukan RM50 juta seperti yang didakwa," katanya.
Beliau berkata projek berkenaan perlu disegerakan pembinaannya bagi mengelak kos pembangunan yang dijangka melonjak dalam tempoh lima tahun akan datang selain peningkatan kos pengurusan.
Katanya menara berkenaan menyediakan pusat perkhidmatan setempat, kemudahan riadah, sukan, pusat asuhan anak-anak, dewan dan bilik mesyuarat yang akan turut dibuka kepada orang awam.
"Kerajaan berharap pembinaan semula Menara 2 DBKL akan dapat membantu menyediakan kemudahan pada tahap terbaik untuk rakyat," katanya.