Parlimen: Pemaju digalak pasang panel solar untuk projek perumahan baharu - Fadillah
Ridauddin Daud
Oktober 28, 2024 13:35 MYT
Oktober 28, 2024 13:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan, melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menggalakkan pemaju perumahan memasang panel solar pada bumbung dalam projek perumahan baharu.
Ringkasan AI
- Kerajaan menggalakkan pemaju perumahan memasang panel solar pada bumbung dalam projek perumahan baharu melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
- Sime Darby Property Bhd telah melaksanakan projek rintis solar bumbung, yang jika berjaya, akan dijadikan dasar nasional.
- Kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus untuk pemasangan panel solar bagi golongan B40 kerana mereka mendapat rebat elektrik.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini, Sime Darby Property Bhd telah mengambil inisiatif melaksanakan projek rintis solar bumbung dalam pembangunan hartanah syarikat tersebut.
Menurut Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, sekiranya projek tersebut berjaya, ia akan dijadikan dasar untuk dipraktikkan di seluruh negara.
Bercakap di Dewan Rakyat pada Isnin, beliau berkata, bagi golongan B40 pula, kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus bagi pemasangan panel solar kerana mereka mendapat rebat elektrik disediakan kerajaan.
“Untuk B40, peratusannya sebagaimana kita tahu, B40 di bawah program kerajaan, mereka mendapat peruntukan di mana mereka dapat rebat. rebat tarif elektrik.
“Jadi, kita tidak berilah pengkhususan untuk mereka meletakkan solar di rumah kerana penggunaan mereka amat kecil, dan untuk melabur dengan solar, ia tidak memberi pulangan yang baik.
“Jadi lebih sesuai kalau kita beri rebat kepada mereka dan tidak memberikan fokus untuk mereka meletakkan solar di bumbung-bumbung mereka.
“Jadi, pendekatan kita sekarang ini merangkumi keseluruhan masyarakat kita dan pendekatannya adalah perbezaan dari segi apakah bantuan kerajaan kepada setiap kumpulan itu tadi,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN - Kubang Kerian) mengenai inisiatif menggalakkan pemasangan panel solar pada bumbung dalam projek perumahan.