Parlimen: Pelan tindakan MAFI bangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi sektor pertanian
Harits Asyraf Hasnan
Disember 9, 2021 13:00 MYT
Disember 9, 2021 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang merancang untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pertanian melalui beberapa pelan tindakan.
Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata MAFI juga turut meneruskan pelaksanaan Program Agropreneur Muda yang terbukti berjaya membantu golongan muda dalam bidang pertanian melalui bantuan geran, pinjaman dan latihan.
"Antara pelan tersebut adalah membangunkan pangkalan data tenaga kerja bagi tujuan data analitik untuk perancangan tenaga kerja, menggalakkan dan memudah cara universiti dan pakar tempatan untuk menerima pakai program latihan yang holistik.
"Ia termasuk membangunkan modal insan dan kepakaran untuk menyokong pelaksanaan teknologi baru, menyediakan platform biasiswa dalam bidang agromakanan dan menaik taraf pusat latihan agromakanan dan universiti dengan kemudahan dan kelengkapan moden ICT dan rangkaian.
"Membangunkan program peralihan untuk siswazah bukan pertanian bagi mereka yang berminat untuk menceburi sektor agromakanan dan melatih dan menggaji siswazah TVET sebagai ejen pemindahan teknologi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu pelan strategik meremajakan sektor pertanian agar dapat menarik minat generasi belia dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.
Menurut beliau MAFI melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 memberikan perhatian khusus bagi memastikan persekitaran yang kondusif bagi meningkatkan penglibatan dan mengekalkan golongan muda dalam sektor pertanian serta membina tenaga kerja masa hadapan dalam menghasilkan makanan yang mencukupi.