Parlimen: 'Mulakan Lebuh Raya Pan Borneo dari Sipitang' - Sapawi
Wan Syamsul Amly
Mac 10, 2016 16:50 MYT
Mac 10, 2016 16:50 MYT
Kementerian Kerja Raya diminta mempertimbangkan memilih Sipitang sebagai permulaan projek Lebuh Raya Pan Borneo berdasarkan kedudukannya yang hampir dengan sempadan Sarawak serta pintu masuk negara Brunei.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad Wasali berkata, kedudukan bandar itu yang menjadi titik pertemuan beberapa lokasi tumpuan pelabur, pelancong serta masyarakat setempat menjadi asas kukuh faktor pertimbangan berkenaan.
"Ia merupakan rayuan yang dibawa penduduk setempat selepas melihat hab perniagaan yang menguntungkan semua pihak dari negeri dan negara bersebelahan. Kita berharap Kementerian Kerja Raya melihat semula pelaksanaan fasa awal pakej lebuh raya tersebut dan meletakkan keutamaan ramai.
"Saya berharap antara pakej itu ia dimulakan dari Senumin, Sipitang iaitu bermula pekan Senumin menuju sehingga daerah Beauford, Papar, Dongon dan Sepur sejauh 60 kilometer dari Senumin dan Beauford di atas kedudukan kami sebagai pintu masuk sempadan," katanya semasa perbahasan Usul Menjunjung Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelancaran projek Lebuh Raya Pan Borneo sebelah Sabah berharga kira-kira RM13 bilion, akan dilakukan menjelang akhir bulan ini atau selewat-lewatnya menjelang awal April depan.
Jelas Fadilah, kementeriannya sekarang menunggu untuk kerajaan negeri Sabah dan kerajaan persekutuan serta rakan pelaksana projek (PDP) menandatangani perjanjian bagi pelaksanaannya.
Dalam pada itu kata Sapawi, Kementerian Kerja Raya turut diharap memikirkan beberapa aspek terutama keuntungan dan kemudahan secara menyeluruh sebelum apa sahaja isu berkenaan lebuh raya itu diputuskan.
Fadillah sebelum ini membangkitkan kesukaran yang dihadapi dalam pembinaan atau menaik taraf projek Lebuhraya Pan Borneo.
Katanya, penduduk yang mendakwa mempunyai hak tanah adat ke atas tanah yang diperuntukkan untuk sebahagian daripada projek lebuh raya itu, tidak mahu menyerahkan hartanah mereka.