Parlimen: MOT umum syarikat baharu pusat pemeriksaan kenderaan motor esok - Loke
Bernama
Februari 6, 2025 17:30 MYT
Februari 6, 2025 17:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengumumkan beberapa syarikat baharu yang akan diberi kelulusan untuk membuka Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) yang baharu esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan beberapa syarikat baharu yang akan diberi kelulusan untuk membuka Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) yang baharu.
- Puspakom tidak lagi menjadi badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, dengan harapan persaingan akan meningkatkan mutu pemeriksaan kenderaan.
- Proses penilaian terhadap permohonan syarikat baharu telah selesai, termasuk semakan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata perkembangan terkini ini susulan keputusan kerajaan yang memutuskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak lagi menjadi badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan tersebut sejak tahun lepas.
"Kita mengharapkan apabila kita membuka pasaran ini, adanya persaingan dari segi perkhidmatan, ia akan meningkatkan mutu pemeriksaan kenderaan supaya kita sama-sama pastikan integriti pemeriksaan kenderaan ini akan dapat ditingkatkan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin mengetahui sejauh mana amalan monopoli yang dibiarkan kepada satu syarikat sejak 1994 telah menyebabkan kewujudan sindiket yang bersekongkol untuk meluluskan kenderaan yang tidak selamat.
Terdahulu, Loke berkata proses penilaian terhadap permohonan yang dikemukakan telah selesai melibatkan semakan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan termasuk keupayaan kewangan serta melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan motor bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.
Beliau berkata ketika ini, Puspakom tidak lagi memiliki konsesi sebaliknya hanya lesen untuk beroperasi bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan motor.
"Saya tidak mahu menyimpulkan bahawa sindiket atau isu rasuah ini berhubung kait dengan dasar monopoli. Tetapi secara umumnya, kita rasa bahawa kalau sesuatu industri itu ada unsur monopoli, ia kadang kala akan menjejaskan mutu perkhidmatan. Itu sebabnya kita menggalakkan ada persaingan," katanya.
-- BERNAMA