Parlimen: MAFI rangka Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025
Astro Awani
September 29, 2021 12:30 MYT
September 29, 2021 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) merangka Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan Tindakan DSMN) bagi meningkatkan daya tahan sistem makanan agar terus kekal utuh dalam menghadapi sebarang tekanan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, menerusi pelan terbabit, kementeriannya menggariskan lima strategi utama.
“Pertamanya, memperluaskan adaptasi tekonologi dalam sistem makanan sebagai langkah pragmatik untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti sistem berteraskan skala ekonomikal dan pertanian mampan.
“Kedua, memperkasakan penyelidikan dan pembangunan berteraskan sekuriti makanan ke arah meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan dan input pertanian seperti makanan ternakan, baka dan benih berkualiti secara domestik.
“Ketiga, memperkasa ketersediaan data sekuriti makanan bagi mengenal pasti dan memantau tahap sekuriti makanan penduduk Malaysia berdasarkan lokaliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) mengenai strategi dalam memastikan keselamatan makanan tidak terjejas khususnya ketika negara berhadapan situasi pandemik COVID-19 ketika ini di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad menambah, strategi keempat dalam Pelan Tindakan DSMN adalah menterjemah aspirasi keselamatan makanan sebagai tanggungjawab bersama dengan memfokuskan usaha memperluas kolaborasi strategik berteraskan sekuriti makanan antara kementerian, kerajaan-kerajaan negeri dan sektor swasta.
“Kelima, memperkukuh tadbir urus merentas jabatan dan agensi untuk merapatkan jurang dalam sistem makanan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan sekuriti makanan negara,” jelasnya.
Menurut Ahmad, pihaknya yakin strategi-strategi yang telah dikenal pasti akan dapat menyumbang kepada usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan negara.
“Kerajaan sentiasa komited untuk terus memperkukuh sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin dalam apa jua keadaan.
“Ini dapat dilihat menerusi usaha-usaha pemerkasaan sistem makanan negara bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli,” jelasnya.