Parlimen: Lebih 85 peratus murid hadir ke sekolah - KPM
Harits Asyraf Hasnan
November 30, 2021 11:22 MYT
November 30, 2021 11:22 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati purata trend kehadiran murid ke sekolah sejak dibuka pada 3 Oktober lalu adalah melebihi 85 peratus.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia melibatkan pengoperasian 10,060 buah sekolah dengan 4.4 juta murid.
"Keadaan ini menunjukkan bahawa pembukaan semula sekolah secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid.
"Pembukaan semula sekolah secara bersemuka juga membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.
"KPM sentiasa komited untuk terus memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang ingin tahu perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan secara berperingkat pada 3 Oktober 2021 yang lalu serta bagaimana penerimaan guru, murid dan ibu bapa secara umumnya mengenai pembukaan sekolah.
Menurut Radzi, KPM sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka yang bermula pada 3 Oktober lalu.
Berdasarkan rekod sehingga 29 November 2021, semua sekolah rendah dan sekolah menengah bawah KPM di negeri yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah beroperasi sepenuhnya.
Jumlah sekolah yang beroperasi ialah 8,166 buah sekolah, melibatkan 6,091 sekolah rendah dan 2,075 sekolah menengah.
Manakala jumlah murid yang terlibat adalah seramai 4,251,221 orang, iaitu 2,517,233 orang murid sekolah rendah dan 1,733,988 orang murid sekolah menengah.