Parlimen: Komitmen kerajaan ke atas syarikat memonopoli bekalan ubat akan dibatal

Umavathi Ramayah
Disember 10, 2024 10:45 MYT
Anwar berkata, Kementerian Kesihatan akan dihantar ke beberapa negara seperti Brazil, China dan India untuk meneroka alternatif kepada pembekalan ubat. - Foto Japen
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membatalkan komitmen pembelian ubat dengan beberapa syarikat yang memonopolikan pembekalan itu dalam mengatasi peningkatan kos perubatan di negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, justeru Kementerian Kesihatan akan dihantar ke beberapa negara seperti Brazil, China dan India untuk meneroka alternatif kepada pembekalan ubat.
Menurutnya, Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada bekalan ubat dari Amerika Syarikat dan Eropah yang nyata kosnya terlalu tinggi.
"Kita tahu bahawa alasan (peningkatan) kos perubatan pertama ubatan sekarang ini tidak ada kawalan, malah pembelian ubat selama berpuluh tahun ini adalah dimonopoli.
"Jadi sebab itu, kita akan membatalkan beberapa komitmen kepada satu atau dua syarikat dan minta Kementerian Kesihatan menjelajah ke beberapa negara supaya mendapat ubat generik yang lebih murah dan berpatutan.
"Ubat generik ini terkenal di Brazil, India, China yang dikaji dan tidak semestinya terikat dengan Amerika Syarikat atau Eropah yang kosnya terlalu tinggi," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus dan peningkatan kos perubatan sebanyak 12.6 peratus pada 2023 yang lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus
BERITA LANJUT MENYUSUL...
#Dewan Rakyat #Anwar Ibrahim #syarikat perubatan #monopoli perubatan
;