Parlimen: KL dah macam London, banyak nama Inggeris - Mohamed Nazri

Ridauddin Daud
Disember 2, 2021 18:05 MYT
Mohamed Nazri hairan bagaimana perkara itu boleh berlanjutan memandangkan setiap projek pembangunan sudah pasti perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur kini ibarat London kerana banyak nama jalan dan bangunan di ibu negara itu menggunakan Bahasa Inggeris, dan tidak banyak menggunakan Bahasa Melayu.
Bahkan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN - Padang Rengas) berkata, bukan hanya jalan dan bangunan, kawasan taman perumahan juga lebih banyak menggunakan Bahasa Inggeris sejak kebelakangan ini.
Situasi itu menyebabkan beliau hairan bagaimana perkara itu boleh berlanjutan memandangkan setiap projek pembangunan sudah pasti perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Ada orang kata terpaksa tukar nama dalam Bahasa Inggeris kerana ia akan dapat menarik perhatian pembeli-pembeli yang mahu membeli bangunan atau rumah.
“Kadangkala tempat itu, walaupun ada nama dalam Bahasa Melayu tapi ditukar kepada Bahasa Inggeris seperti Bangsar South.
“Saya rasa ‘south’ itu dalam Bahasa Melayu adalah selatan. Apa salahnya kalau kita panggil Bangsar Selatan,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat pada Khamis.
Tambah beliau, lokasi yang sepatutnya menjadi keutamaan ketika membeli rumah atau bangunan dan bukannya berpandukan kepada nama.
Tegasnya, Kuala Lumpur misalnya, berasal dari perkataan ‘lumpur’ namun sudah terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa.
Fahmi Fadzil (PH - Lembah Pantai) kemudian bangun mencelah memandangkan Mohamed Nazri menyebut nama di dalam kawasannya.
“Saya setuju. Sebab itu dari awal saya dipilih, saya memperjuangkan nama Kampung Kerinchi dan saya harap ke mana sahaja Padang Rengas pergi, kita boleh pertahankan nama seperti Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum,” ujarnya.
#Kuala Lumpur #Nazri Aziz #Bangsar South #nama Inggeris #Parlimen
;