Parlimen: KKM pastikan RUU Perubatan dikuat kuasa segera - Dr Dzulkefly
Bernama
Julai 17, 2024 21:40 MYT
Julai 17, 2024 21:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dikuatkuasakan secepat mungkin.
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan akan mempercepatkan penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat untuk meningkatkan proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan.
- Pindaan ini akan memastikan program sarjana perubatan dan laluan 'parallel' mendapat kelulusan dan pengiktirafan yang diperlukan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
- MMC akan memperkenalkan piawaian baharu untuk latihan kepakaran perubatan dan memastikan profesion perubatan mendapat perwakilan yang adil melalui pindaan keanggotaan.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata rang undang-undang itu bertujuan menambah baik peruntukan dalam proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan khususnya bagi laluan 'parallel'.
"Saya tahu Pindaan Akta Perubatan pada 2012 mengambil masa lima tahun dalam penubuhan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Daftar Pakar (NSR) yang bertanggungjawab mendaftar pakar.
"Saya beri komitmen bahawa pindaan akta ini seperti yang diharapkan Ahli Parlimen semua, kita akan lakukan dalam waktu sesegera mungkin bukannya lima tahun," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 itu.
Rang undang-undang itu yang dibahaskan 20 Ahli Parlimen diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
Menerusi cadangan pindaan seperti dalam rang undang-undang itu, Dr Dzulkefly berharap tiada lagi isu berkaitan kualiti doktor pakar menerusi laluan 'parallel' dibangkitkan kerana program sarjana perubatan serta laluan 'parallel' memerlukan kelulusan dan pengiktirafan oleh jawatankuasa dan panel khas di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
"Proses pengiktirafan dan kelulusan latihan kepakaran baharu yang disediakan IPT (institusi pengajian tinggi) tempatan juga akan diselaraskan dengan proses akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya proses itu dikemas kini, yang sifatnya arus perdana bukan bekerja secara sendirian (silo).
"Inilah yang kita mahukan, keterjaminan kualiti, bukan saja ditentukan dalam aliran umum proses dan jangan lagi ada yang cuba untuk pertikaikan graduan, terutama yang sedang mengamalkan (pakar yang sedang berkhidmat)," katanya.
MMC akan menyediakan 'Malaysian Standards for Medical Specialist Training' untuk piawaian umum dan 'Speciality Specific Requirements' (SSR) untuk setiap bidang kepakaran dengan sebuah panel akan dilantik bagi menilai setiap program latihan yang akan dibuat selari dengan proses akreditasi MQA.
Pindaan kepada keanggotaan MMC seperti dicadang rang undang-undang itu juga akan memastikan profesion perubatan secara keseluruhannya mendapat perwakilan yang adil.
-- BERNAMA