Parlimen: Kerugian penipuan dalam talian cecah RM2.4 bilion

Umavathi Ramayah
Julai 4, 2024 13:45 MYT
Azalina berkata, kerugian itu meningkat sebanyak 43 peratus iaitu kepada RM1.22 bilion pada 2023 berbanding RM851 juta pada 2022. - Foto Japen
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dimaklumkan jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah RM2.65 bilion sejak 2022 hingga Jun tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerugian itu juga meningkat sebanyak 43 peratus iaitu kepada RM1.22 bilion pada 2023 berbanding RM851 juta pada 2022.
"Jadi cadangan- cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan ini akan membenarkan pihak polis untuk menghalang wang mangsa penipuan jenayah dalam talian daripada dikeluarkan atau digunakan.
"Secara tidak langsung, ia akan membuka ruang untuk pemulangan wang-wang ini kepada mangsa-mangsa," katanya di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai jumlah kerugian dan sama ada mangsa akan mendapat kembali wang penipuan itu.
Mengulas lanjut, Azalina memberitahu, pindaan itu juga akan memudahkan polis untuk melakukan jejak wang bagi mengenal pasti duit mangsa yang telah ditipu.
Terdahulu, beliau memberitahu, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan Akta 574 Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah 593 bagi membanteras jenayah dalam talian secara berkesan.
Katanya, pindaan itu dijangka akan dibentang pada sesi Parlimen kali ini setelah memperolehi pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
#penipuan dalam talian #Azalina Othman #mangsa dapat kembali wang #pindaan akta
;