Parlimen: Kerap dituduh rasuah, penguat kuasa kastam bakal dilengkapi kamera badan
Harits Asyraf Hasnan
Disember 6, 2021 12:46 MYT
Disember 6, 2021 12:46 MYT
KUALA LUMPUR: Penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka akan dilengkapi dengan peralatan kamera badan sebagai usaha menangani salah laku dalam kalangan pasukan tersebut.
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah memaklumkan, usaha itu antara lain adalah untuk meningkatkan integriti JKDM selain usaha menyelamat anggota kastam yang kerap dituduh terbabit dalam aktiviti rasuah.
"Pertamanya, adalah tidak adil menuduh pegawai JKDM kerana kami ketika ini sedang melakukan pelbagai tindakan pelan strategik untuk tingkatkan integriti anggota.
"Kita juga akan melaksanakan kamera badan untuk tingkatkan integriti dan menyelamatkan pegawai-pegawai di JKDM yang selalu dituduh terlibat dengan rasuah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang ingin tahu sama ada berlaku amalan rasuah dalam kalangan anggota kastam dalam penyeludupan rokok dan arak.