Parlimen: Kerajaan dicadang naikkan ambang cukai untuk bantu IKS

Bernama
Oktober 22, 2024 21:43 MYT
Menurut Lim, dua sektor paling terkesan dengan kenaikan gaji minimum ialah sektor perladangan dan IKS yang berintensif tenaga buruh khususnya pekerja asing. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan supaya membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berhubung isu gaji mninimum dengan mempertimbangkan untuk menaikkan nilai ambang pendapatan bercukai untuk syarikat IKS bagi kadar cukai 15 peratus daripada RM150,000 kepada RM300,000.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata selain itu, kerajaan juga dicadangkan menaikkan ambang pendapatan bercukai, seterusnya bagi kadar cukai 17 peratus daripada RM300,000 hingga 600,000, kepada RM700,000.
"Ini membolehkan IKS menikmati penjimatan percukaian sebanyak RM10,000 untuk tahun taksiran 2025," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, dua sektor paling terkesan dengan kenaikan gaji minimum ialah sektor perladangan dan IKS yang berintensif tenaga buruh khususnya pekerja asing.
Kenaikan gaji minimum harus diumumkan secara berjadual untuk jangka masa panjang supaya semua pihak boleh membuat perkiraaan sewajarnya, katanya.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Dalam pada itu, Lim turut mencadangkan supaya nilai ambang bagi kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit dinaikkan sebanyak RM500 kepada RM3,500 satu tan di Semenanjung Malaysia dan RM4,000 di Sabah dan Sarawak.
"Kenaikan nilai ambang untuk levi windfall tax minyak sawit mentah sebanyak RM150 terlalu kecil dan harus dinaikkan sebanyak RM 500 kepada RM3,500 satu tan di Semenanjung Malaysia dan RM4,000 di Sabah dan Sarawak.
"Adalah sesuatu yang tidak relevan bahawa levi keuntungan luar biasa dikenakan pada tahap harga pasaran yang hanya melepasi atau kurang daripada kos pengeluaran," katanya.
Menurutnya, Menteri Komoditi dan Perladangan Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut mengakui bahawa nilai ambang bagi kenaan levi keuntungan luar biasa terhadap buah kelapa sawit masa kini tidak sesuai memandangkan kos pengeluaran telah meningkat kepada RM 2,800 hingga RM 3,200 satu tan berbanding dengan RM1,800 sebelum ini.
Selain itu dalam Belanjawan 2025, kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang bagi kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit kepada RM3,150 bagi Semenanjung Malaysia, manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada RM3,650.
-- BERNAMA
#gaji minimum #Dewan Rakyat #Belanjawan 2025 #IKS
;