Parlimen: Kenaikan gaji minimum harus disokong dengan dasar jelas, kawalan harga - Muhyiddin

Ridauddin Daud
Oktober 23, 2024 15:15 MYT
Muhyiddin berkata kenaikan gaji minimum akan menjadi masalah jika majikan memindahkan kenaikan kos upah pekerja kepada pengguna. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sebarang usaha menaikkan gaji minimum mesti disokong dengan dasar dan tindakan kawalan harga yang jelas.

Ringkasan AI
  • Kenaikan gaji minimum perlu disokong dengan dasar kawalan harga yang jelas untuk mengelakkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
  • Tindakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa untuk menangani kenaikan harga yang tidak wajar.
  • Kerajaan perlu memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh syarikat kecil yang mungkin tidak mampu menampung kenaikan kos operasi akibat kenaikan gaji minimum.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 juga perlu diperkasa agar sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kenaikan itu akan menjadi masalah jika majikan memindahkan kenaikan kos upah pekerja kepada pengguna yang pastinya akan menaikkan harga barang dan perkhidmatan.
Beliau juga menasihatkan kerajaan supaya melihat secara terperinci masalah dihadapi syarikat kecil yang tidak mampu menampung kenaikan kos operasi syarikat akibat kenaikan kos upah.
“Ini kerana kesan berantai kenaikan gaji minimum ini besar. Ia bukan sekadar kenaikan kos upah yang terpaksa ditanggung oleh syarikat, tetapi juga kos operasi, logistik, inventori dan lain-lain.
“Pembekal akan menaikkan harga. Syarikat pengangkutan akan menaikkan harga. Perkhidmatan-perkhidmatan yang biasa digunakan oleh syarikat juga akan naik harga.
“Saya bimbang akhirnya syarikat-syarikat kecil yang tidak mampu menampung kenaikan kos akan membuang pekerja atau gulung tikar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut membangkitkan persoalan mengenai Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini.
Menurutnya, sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan terhadap sistem percukaian baharu itu.
“Kita tak dengar apa-apa berita lagi mengenainya (HVGT). Adakah ditangguh atau dibatalkan? Sedangkan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barangan bernilai rendah atau LVG telah pun dilaksanakan sejak bulan Januari tahun ini.
“Ini seolahnya orang miskin yang membeli barangan murah dikenakan cukai, orang kaya yang memberi barangan mahal tak dikenakan cukai.
“Ini satu dasar yang songsang,” katanya.
Muhyiddin pada masa sama turut bertanya mengenai dasar gaji progresif, sama ada ia akan dilaksanakan atau sebaliknya.
“Adakah ia (dasar gaji progresif) akan dilaksanakan, ditangguh atau tidak dilaksanakan langsung. Hal ini mesti diperjelaskan,” katanya.
Dalam perbahasan sama, beliau turut mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan negara bagi memastikan tidak berlaku jumlah belanjawan yang lebih besar pada masa hadapan.
#gaji minimum #Muhyiddin Yassin #Ahli Parlimen Pagoh #Dewan Rakyat #Belanjawan 2025
;