Parlimen: Kadar kenaikan tiket penerbangan ke Sarawak boleh dilandaikan - Wee
Bernama
Disember 1, 2021 19:58 MYT
Disember 1, 2021 19:58 MYT
KUALA LUMPUR: Purata harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak, antara 11 hingga 31 Dis ini adalah RM360, berdasarkan pemantauan jualan tiket oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada jam 2 petang tadi.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat hari ini harga itu adalah lebih rendah berbanding purata harga tiket penerbangan ke destinasi sama pada Disember 2019.
"Kecuali mereka yang beli (tiket) pada saat akhir kita tidak tahu lagi. Dan kalaulah frekuensi (penerbangan) itu dapat ditingkatkan seperti mana yang dikehendaki, maka kita dapat melandaikan kadar kenaikan tambang itu untuk membantu mereka yang hendak ke Sarawak atau datang balik ke Semenanjung," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Wee berkata permasalahan dari segi sekatan frekuensi penerbangan ke Sarawak menyebabkan kenaikan kadar tambang yang mendadak ke negeri itu dan hasil perbincangan kerajaan bersama syarikat penerbangan, mereka boleh menurunkan harga secara mendadak jika frekuensi penerbangan ke negeri itu tidak disekat.
"Jadi kita telah menulis kepada kerajaan negeri (Sarawak), (iaitu) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC)...tetapi kita menghormati Sarawak kerana jumlah yang dibenarkan masuk ke Sarawak adalah pada bidang kuasa Imigresen di Sarawak.
"Sebab itu kita minta 520 penerbangan (seminggu) untuk selesaikan masalah ini kerana kita dapati dari segi sekatan frekuensi ini menyebabkan kadar tambang itu naik," katanya.
Beberapa Ahli Parlimen hari ini membangkitkan isu kenaikan tambang tiket penerbangan dari Semenanjung ke negeri Bumi Kenyalang itu, antaranya Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), Ma'mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) dan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru).
Sesi perbahasan itu disertai 22 Ahli Parlimen dari blok kerajaan, pembangkang dan bebas.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,526,793,800 kepada Kementerian Pengangkutan dalam Bajet 2022 dengan lebih suara menyokong.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM520,275,300 yang diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Bajet 2022.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA