Parlimen: 'Jangan sebar maklumat 'up to date' palsu di internet' - Soo Siang

Wan Syamsul Amly
Mac 10, 2016 17:52 MYT
KHOO: Trend berlumba untuk mendapat maklumat terkini dilihat baik namun perlu mengikut terma penggunaan dan adab di dalam media sosial. - Gambar fail
Rakyat diminta tidak terburu-buru untuk menyebarkan sebarang berita yang tidak disahkan kerajaan mengenai isu semasa semata-mata untuk mengejar populariti peribadi.
Ahli Parlimen Tebrau, Khoo Soo Siang berkata, penggunaan nama-nama agensi berita besar, selebriti atau tokoh pemimpin di dalam setiap berita harus disiasat sebelum menjadi agen penyebar berita di alam maya.
"Kesan penyebaran berita palsu juga disifatkan berimpak tinggi dan boleh menyebabkan kemusnahan perpaduan masyarakat serta negara.
"Sekiranya penerima maklumat palsu itu menggunakan sedikit masa untuk menyiasat sedikit. Mereka dengan mudah akan dapat membuktikan ia tidak benar sama sekali.
Setiap rakyat bertanggungjawab untuk memastikan internet kekal untuk rakyat jalankan perniagaan, medan media sosial dan tidak perlu bimbang mengenai jenayah," katanya katanya semasa perbahasan Usul Menjunjung Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta pembaca lebih berhati-hati serta bijak memilih setiap maklumat di media sosial.
Dalam catatan di blognya, Salleh berkata pembaca juga harus melakukan ‘tapisan sendiri’ selain meminta pembaca lebih berhati-hati dan jangan sekadar melihat kepada tajuk sahaja kerana isi cerita kadangkala tidak sama dengan tajuknya.
Dalam pada itu kata Soo Siang, trend berlumba untuk mendapat maklumat terkini dilihat baik namun perlu mengikut terma penggunaan dan adab di dalam media sosial.
"Kerajaan juga perlu mendidik pengguna internet agar tidak menyebar berita palsu di laman media mereka. Ia sekali gus meningkatkan kualiti internet itu sendiri.
"Pihak yang menyebar maklumat palsu itu tahu ia kelemahan pengguna internet jadi mereka menggunakan cara itu untuk memastikan setiap berita itu tersebar luas," jelasnya.
#ahli parlimen tebrau #Internet #Khoo Soo Siang #Parlimen #Salleh Said Keruak
;