Parlimen: Jangan masuk Dewan merengek-rengek beritahu 'hearsay' - Fadhlina
Ridauddin Daud
September 19, 2023 14:10 MYT
September 19, 2023 14:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak akan sekali-kali menghentikan tumpuan dan perancangan pembinaan serta pembangunan infrastruktur pendidikan di semua negeri.
Menterinya, Fadhlina Sidek mengakui mungkin ada kelewatan di sana-sini, namun kementerian tidak pernah menghentikan pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.
“Ada kelewatan tapi kita tidak pernah menghentikan pembangunan. Kalau nak jadi Yang Berhormat, bertanggungjawab masuk dewan (Dewan Rakyat) kena pastikan fakta betul.
“Jangan masuk dewan merengek-rengek beritahu 'hearsay'... saya dengar itu, saya dengar ini', ...tak betul.
“Ini adalah Dewan yang sangat penting yang akan memastikan semua pembangunan dilaksanakan, ada jaminan untuk disiapkan.
“Tidak perlu gunakan Dewan ini dengan perkataan merengek-rengek, ‘hearsay’ ini,” katanya.
Meskipun tidak menuding kepada sesiapa namun kenyataan itu dipercayai bagi mengkritik Ahli Parlimen pembangkang yang berulang kali menyatakan kawasan mereka tidak mendapat peruntukan.