Parlimen: Industri permainan digital catat hasil jualan, eksport RM45 juta - Gobind

Ridauddin Daud
Oktober 28, 2024 13:15 MYT
Gobind berkata angka positif itu membuktikan industri permainan digital di Malaysia memiliki potensi besar untuk dimajukan melalui sokongan daripada kerajaan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Industri permainan digital Malaysia mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta melalui dana yang telah disediakan oleh kerajaan.

Ringkasan AI
  • Industri permainan digital Malaysia mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta.
  • Kerajaan telah memperuntukkan RM123 juta kepada MDEC dari 2014 hingga 2024 untuk menyokong industri kreatif.
  • Sejumlah 60 projek telah diluluskan dengan dana RM36.7 juta, mewujudkan lebih daripada 700 peluang pekerjaan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, angka positif itu membuktikan industri permainan digital di Malaysia memiliki potensi besar untuk dimajukan melalui sokongan daripada kerajaan.
Menurutnya, dari tahun 2014 hingga 2024, kerajaan juga telah memperuntukkan RM123 juta untuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Jelasnya, peruntukan itu adalah bagi MDEC menjalakan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital, komik digital, dan kandungan teknologi kreatif.
“Sehingga kini, sejumlah 60 buah projek telah diluluskan oleh MDEC dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM36.7 juta bagi pembangunan permainan digital. Ia meliputi platform komputer, konsol dan mudah alih.
"Kesemua projek ini juga telah berjaya mewujudkan lebih daripada 700 peluang pekerjaan,” kata Gobind.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Syahredzan Johan (PH - Bangi) yang bertanya dana diperuntukkan buat MDEC dan hasil jualan bagi setiap permainan digital dihasilkan rakyat Malaysia.
#MDEC #Gobind Singh Deo #Industri permainan digital Malaysia #Dana Kandungan Digital
;