Parlimen: Hishammuddin akui berlaku kelewatan penghantaran aset pertahanan

Astro Awani
Oktober 5, 2021 15:54 MYT
Hishammuddin Tun Hussein mengakui berlaku kelewatan ke atas aset-aset pertahanan daripada kontraktor yang dilantik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengakui berlaku kelewatan penghantaran aset-aset pertahanan daripada kontraktor yang dilantik.
Bagaimanapun katanya, ia tidak bermakna bahawa kerajaan tidak boleh menuntut ganti rugi bagi memastikan aset-aset ini dapat disampaikan kepada pihak pengguna.
"Apa jua masalah yang dihadapi ini dapat diatasi sebaik mungkin,” katanya ketika menyampaikan penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang membangkitkan jika ada aset yang sudah ditempah namun tidak sampai dan menyarankan agar kerajaan membuat audit bagi mengetahui punca perkara itu berlaku.
Malaysia boleh tuntut ganti rugi aset ketenteraan yang tidak sampai
Mengulas lanjut, Hishammuddin menambah, terdapat prosedur terhadap aset-aset pertahanan yang lewat untuk disampaikan.
“Ada prosedurnya untuk kita memastikan bahawa kelewatan masa yang diambil tidak menjejaskan sedikit sebanyak perancangan kita,” jelasnya.
Menurutnya, projek-projek 'sakit' atau lama perlu diselesaikan dan diurus.
“Pada masa sama, ini tidak bermakna projek-projek hari ini yang perlu diputuskan tidak diputuskan,” tegasnya.
Hishammuddin berkata, beliau juga tidak teragak-agak untuk memastikan ketelusan dan keadilan kepada kelewatan aset-aset terbabit dapat direalisasikan.
#Hishammuddin Hussein #Dewan Rakyat #aset pertahanan #Kementerian Pertahanan
;