Parlimen Hibrid: Mudah kawal, 'mute' mikrofon wakil rakyat yang ganggu sidang - Mohamad Ariff

Harits Asyraf Hasnan
Jun 26, 2021 18:39 MYT
Mohamad Ariff berkata sukar untuk kawal apabila ada yang berdiri, berteriak, maki hamun, mencaci dan sebagainya hingga wujudnya keadaan yang tidak terkawal. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid merupakan peluang terbaik untuk menyusun semula tatacara prosiding.
Itu pandangan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang menyifatkan ia memudahkan speaker mengawal perjalanan dewan.
"Speaker Dewan dapat menentukan rentak prosiding yang sekian lama sukar untuk speaker kawal iaitu semasa prosiding fizikal.
"Ada yang berdiri, teriak sana sini, maki hamun, mencaci dan sebagainya hingga wujudnya keadaan yang tidak terkawal.
"Kalau dibuat secara maya atau hibrid, prosiding dapat dikawal, sesiapa yang melanggar peraturan misalnya, senang sahaja, 'mute' (senyapkan) sahaja.
"Jika secara fizikal, perlu disuruh duduk berkali-kali, kalau tidak mahu duduk, terpaksa dikeluarkan.
"Senyapkan sahaja sebab semua orang tidak boleh bercakap kecuali di 'unmute' (nyahsenyap), atau dibenarkan oleh speaker atau moderator," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Fokus Minggu Depan: Menjayakan Sidang Parlimen Hibrid
Jelasnya, Malaysia boleh mengambil contoh persidangan secara hibrid yang telah dilakukan di United Kingdom, Wales, Scotland serta pelbagai lagi negara lain.
Berkongsi pengalaman beliau mengendalikan sidang Dewan Rakyat, bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu mengakui, sukar mengendalikan persidangan apabila berlaku 'perbalahan'.
"Walhal dalam prosiding fizikal, mengikut pengalaman saya semasa menjadi speaker, kalau pun saya suruh mereka duduk dan disenyapkan mikrofon, butang senyap itu ditekan, mereka masih boleh boleh tekan semula supaya mereka dapat bercakap.
"Walaupun saya tekan butang senyap, mereka boleh dengan suara yang lantang, masih boleh terus bercakap. Tak ada mikrofun pun tak apa kerana suara mereka tetap boleh didengar.
"Kalau kita guna sistem maya, segala keriuhan ini dapat dielakkan," katanya.
Justeru, beliau berpandangan tatkala situasi pandemik COVID-19 masih tidak menentu, adalah wajar supaya sidang Parlimen dijalankan secara maya.
#COVID-19 #pandemik #Dewan Rakyat #Parlimen #sidang Parlimen maya #Parlimen hibrid #Mohamad Ariff Md Yusof #Dewan Rakyat kecoh #mengendalikan Dewan Rakyat
;