Parlimen: Ganggu penggulungan Zafrul, pertikai Najib tidak disenarai hitam, Rayer diarah keluar
Umavathi Ramayah
November 24, 2021 17:49 MYT
November 24, 2021 17:49 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sekali lagi membuat kecoh sehingga diarah keluar dari Dewan Rakyat selepas ingkar arahan untuk tidak menganggu sesi penggulungan Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa hari ini.
Meskipun sudah diberi amaran, beliau terus bangun dan mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak disenaraihitamkan, sebaliknya dibenarkan ke Singapura.
Berikutan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon mengarahkan beliau keluar dari Dewan Rakyat selama 20 minit selepas enggan duduk dan berhenti menganggu penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"Kenapa Yang Berhormat Pekan (Najib) diberi layanan istimewa? Kenapa beliau dibenarkan ke luar negara.
"Bukan isu mahkamah, (saya) fahamlah, kita disenaraihitamkan jika tidak bayar cukai, soalan saya kenapa beliau diberi layanan istimewa, RM1.75 bilion belum dibayar (cukai) lagi?," soal Rayer.
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kemudian mencelah untuk menjawab soalan yang dibangkitkan itu, menyebabkan Rayer menyifatkan Abdul Azeez sebagai tidak tahu apa-apa sebelum memintanya duduk.
"Menteri serahkan tugas (Menteri Kewangan) kepada Baling (Abdul Azeez) untuk menjawab," ujarnya sinis.
Menjawab soalan Rayer, Tengku Zafrul memberitahu, keputusan menyerahkan dokumen perjalanan adalah budi bicara mahkamah dan justeru itu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak dapat menyenaraihitamkan beliau.
Rayer yang dilihat tidak berpuas hati dengan jawapan itu terus bangun dan mencelah ketika penggulungan sebelum beliau diarah keluar.
Arahan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan blok pembangkang termasuk Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang menyifatkannya sebagai satu tindakan mengugut.