Parlimen: Empat lagi rakyat Malaysia berada di Ukraine

Umavathi Ramayah
Mac 8, 2022 03:21 MYT
Saifuddin Abdullah memberitahu pihak kedutaan melalui kerjasama Perwakilan-Perwakilan Malaysia di negara berdekatan Ukraine sentiasa berhubung rapat dengan warganegara Malaysia yang masih berada di Ukraine. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Empat rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev dilaporkan masih berada di Ukraine selepas tempoh evakuasi baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menjelaskan, ada antara mereka yang berkahwin dengan warganegara tempatan.
Walaupun begitu katanya, pihak kedutaan melalui kerjasama Perwakilan-Perwakilan Malaysia di negara berdekatan Ukraine sentiasa berhubung rapat dengan warganegara Malaysia yang masih berada di Ukraine.
"Pihak Kedutaan kita sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya mereka berhasrat untuk keluar dari negara itu.
"Bantuan yang diberikan termasuk memudah cara urusan kemasukan di sempadan-sempadan negara, urusan dokumentasi seperti pengeluaran Sijil Perakuan Cemas bagi individu yang memerlukan, memastikan keadaan serta kebajikan mereka sentiasa terpelihara dan lain-lain urusan yang berkaitan," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan M Kulasegaran (PH - Ipoh Barat) yang memintanya menyatakan sama ada kerajaan menyedari bahawa ramai rakyat Malaysia terkandas di Ukraine dan jenis bantuan yang telah serta akan disalurkan bagi membantu mereka.
Dalam pada itu merujuk kepada sebuah video tular berdurasi 45 saat yang mendakwa sekumpulan pelajar Malaysia masih terkandas di Ukarine, Saifuddin menjelaskan, sehingga kini tiada sebarang pengesahan yang membuktikan mereka adalah rakyat Malaysia.
“Sehingga kini, tiada pengesahan dapat dibuat ke atas dakwaan tersebut serta identiti mereka sebagai warganegara Malaysia.
“Namun, saya ingin menggesa supaya mana-mana warganegara Malaysia di Ukraine yang masih belum mendaftarkan diri dengan pihak Kedutaan, untuk segera berbuat demikian,” katanya
#Saifuddin Abdullah #rakyat Malaysia #video tular #Ukarine #Rusia