Parlimen Digital himpunkan tenaga belia bincang polisi, undang-undang negara

Aza Jemima Ahmad
Jun 8, 2020 18:14 MYT
Hampir 4,000 jumlah pendaftaran sudah diterima dan mereka menjangkakan kadar itu akan terus bertambah dalam masa terdekat. -Foto Astro AWANI
Ekoran wabak COVID-19 yang melanda dunia di saat ini, persidangan parlimen secara virtual masih lagi dianggap sebagai satu konsep yang asing buat sebilangan besar warga dunia.
Untuk itu sebuah gabungan badan-badan belia di negara ini mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu sesi parlimen secara dalam talian yang pertama di negara ini dan dikenali sebagai Parlimen Digital.
Dikendalikan oleh Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Rakyat Demokratik, Parlimen Digital menghimpunkan seramai 222 perwakilan belia yang dipilih.
Lahir dari kesedaran persidangan Parlimen tidak dapat berlangsung secara normal ketika ini, persidangan itu akan mengenengahkan isu-isu semasa untuk dibahaskan secara maya sebelum proses undian usul.
“Kami mengambil elemen dari prosiding parlimen dan menyesuaikannya secara dalam talian,” menurut Eshaan Menon dari United Nations Association of Malaysia ketika dihubungi Astro AWANI.
"Kami akan menggunakan sistem perlindungan kata laluan serta ciri ‘ruang menunggu’ untuk para peserta. Selain itu, kami akan menggunakan sistem berasaskan OTP untuk mengendalikan proses undian,” tambahnya lagi.
Menerusi laman Instagram rasmi mereka, Parlimen Digital menjelaskan, objektif persidangan Dewan ini adalah bagi memberi ruang dan saluran kepada anak muda untuk menyuarakan pendapat dan perspektif tentang dasar-dasar yang perlu dilaksanakan bagi menangani krisis COVID-19.
Persidangan ini akan diadakan secara atas talian dalam bahasa kebangsaan Malaysia dan disiarkan secara langsung di platform media sosial untuk tontonan ramai.
Setakat ini, hampir 4,000 jumlah pendaftaran sudah diterima dan mereka menjangkakan kadar itu akan terus bertambah dalam masa terdekat.
“Terdapat beberapa cabaran yang kami lalui, yang pertama ialah gelombang awal pencalonan di mana majoriti pemohon adalah terdiri daripada golongan lelaki.
“Maka kami perlu melakar strategi yang berbeza dan menekankan kepada mencalonkan golongan wanita, dan orang ramai telah memberi maklum balas yang positif. Dengn itu kami berjaya meningkatkan calon wanita dari 11% menjadi 17.2%,” kata Jean Vaneisha, Setiausaha Agung Challenger Malaysia.
“Selain itu, kami juga melihat penyertaan wakil dari negeri-negeri di kawasan Pantai Timur dan Borneo tidak seramai yang kami mahukan.
“Perkara ini mungkin disebabkan oleh jurang digital jadi kami menghubungi NGO dan organisasi tempatan dengan harapan dapat menyebarkan tentang perkara ini daripada bergantung hanya pada media sosial,” kata Alicia Nicholle, juga dari Challenger Malaysia.
“Statistik ini mencerminkan isu yang cenderung berlaku dalam arena politik sebenar. Ketidaktentuan calon di kawasan bandar bermaksud mereka akan bertanding di kerusi luar bandar lantas mempengaruhi demografi kawasan luar bandar ini.
“Kami berusaha sedaya upaya untuk mengatasi jurang ini menerusi Dewan virtual ini, tetapi sukar untuk mengimbangi perbezaan jumlah pemohon untuk setiap kerusi. Contohnya, salah satu kerusi di kawasan Lembah Klang kini mempunyai 34 pemohon namun masih tiada satu kerusi pun permohonan buat kawasan pedalaman di Sarawak,” jelas Alicia lagi.
Parlimen Digital terbuka kepada golongan belia yang berusia 15 hingga 35 tahun untuk mewakili kawasan pilihan raya masing-masing.
“Untuk sesi penentuan, sama ada Ahli Parlimen menyokong atau menentang usul tersebut, kami akan menyusun atur cadangan yang dibincangkan semasa perbahasan dalam sebuah laporan.
“Kami juga berharap untuk menyerahkan laporan ‘perspektif anak muda’ ini kepada pihak berkepentingan yang relevan seperti Pejabat Perdana Menteri atau mana-mana anggota parlimen untuk mengkaji dan mengambil tindakan terhadap cadangan ini,” jelas Tharma Pillai dari Undi18.
Parlimen Digital akan dilaksanakan pada 4 dan 5 Julai ini dengan menghimpunkan seramai 222 belia untuk berdebat, berbincang serta meluluskan rang undang-undang dan polisi yang perlu dilaksanakan.
Inisiatif ini juga turut mendapat kerjasama daripada badan-badan NGO lain seperti Architects Of Diversity, Projek57, MyHutan, Persatuan Alumni Felo Perdana, Teach For Malaysia selain ahli politik.
Ini termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei yang turut menyampaikan sokongan terhadap inisiatif ini menerusi akaun Twitter beliau pada 3 Jun lalu.

Gurl, what are you waiting for? Tiada penyertaan, tiada perwakilan. Jom daftar @ParlimenDigital sekarang di https://t.co/fwhXaicMVT! Feel free to #AskMeAnything tentang wanita & politik below. pic.twitter.com/lFZNxWKtnR

— Lim Yi Wei (@LimYiWei4MY) June 3, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Belia #COVID-19 #Dewan Rakyat #koronavirus #Malaysia #menteri #NGO #Pantai Timur #Parlimen #Parlimen Digital #undang-undang #virtual
;