Parlimen: Cadangan pindaan Akta Rukun Tetangga sedang dikemas kini - Saraswathy
Bernama
Mac 27, 2024 13:39 MYT
Mac 27, 2024 13:39 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Rukun Tetangga 2012 kini dalam proses kemas kini sebelum dibawa ke Kabinet, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.
Beliau berkata pindaan itu akan memberikan lebih fokus kepada inisiatif rukun tetangga yang sedang dilaksanakan pada masa ini.
"Ia juga untuk memperkasakan lagi fungsi rukun tetangga mengikut bidang tumpuan yang sedang diberikan keutamaan oleh Jabatan Perpaduan Negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai status terkini semakan dan pindaan kepada Akta Rukun Tetangga 2012 untuk memperkasakan fungsi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) seiring cabaran semasa.
Saraswathy berkata setakat ini, terdapat 8,428 KRT telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan sebanyak 210,000 orang meliputi 12.5 juta penduduk.
Bagi tahun ini, beliau berkata fokus utama Kementerian Perpaduan Negara adalah untuk menggerakkan inisiatif pemerkasaan KRT sebagai penggerak komuniti progresif menerusi lapan bidang tumpuan.
Katanya, ia melibatkan bidang ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan diri, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan budaya dan digital.
Selain itu, beberapa aktiviti dirangka untuk menggalakkan penyertaan golongan muda dalam KRT antaranya Program Young, Effective and Smart (YES), Jiran Muda, e-Usahawan dan Pasukan Inovasi Jiran Muda.
Saraswathy menjawab soalan asal Azman mengenai usaha penambahbaikan kementerian untuk memperkasakan KRT serta menggalakkan golongan muda dalam aktiviti kesukarelawanan rukun tetangga.
-- BERNAMA