Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat - Agong

Umavathi Ramayah
Februari 24, 2021 16:01 MYT
Perkara itu dititah baginda ketika menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini. - Foto Istana Negara
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.
Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat
Perkara ini katanya, termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
Katanya, Al-Sultan Abdullah menitah tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.
"Perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Perkara itu dititah baginda ketika menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan serta etika tataperlakuan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.
Dalam pada itu, kata beliau, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan,
khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta agensi-agensi kerajaan lain, usaha merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada hari ini.
"Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak COVID-19," tambahnya lagi.
Ekoran itu, beliau memberitahu, Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas daripada wabak ini dengan segera.
#Yang di-Pertuan Agong #perintah darurat #Parlimen #Dewan Rakyat #Dewan Negara #boleh bersidang #Perdana Menteri #Speaker #Rais Yatim #Proklamasi Darurat
;