Parlimen: Blok pembangkang kosong, tidak sertai sesi perbahasan laporan audit

Bernama
Jun 6, 2023 18:51 MYT
Ahli Parlimen kerajaan ketika berbahas menyifatkan tindakan pembangkang yang tidak mahu menyertai sesi itu sebagai tidak bertanggungjawab dan amat memalukan. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada sesi petang hari ini lengang apabila kesemua Ahli Parlimen pembangkang mengambil keputusan untuk tidak menyertai sesi perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2.
Meskipun Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah memutuskan agar usul itu dibentang dan dibahaskan selepas persidangan disambung 2.30 petang tadi, namun sehingga perbahasan dimulakan pada 2.45 petang, tempat duduk blok pembangkang masih kosong,
Berdasarkan senarai 13 Ahli Parlimen yang menyertai perbahasan usul itu, kesemuanya adalah daripada blok kerajaan.
Rata-rata Ahli Parlimen kerajaan ketika berbahas menzahirkan rasa kecewa selain menyifatkan tindakan pembangkang yang tidak mahu menyertai sesi itu sebagai tidak bertanggungjawab dan amat memalukan.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata pembangkang sepatutnya menjalankan peranan tugas semak dan imbang laporan itu agar kelemahan yang ditegur Ketua Audit Negara boleh diperbaiki dan tidak diulangi oleh kerajaan sekarang.
Sementara itu Young Syefura Othman (PH-Bentong) berasa kesal dengan tindakan pembangkang yang tidak menyertai sesi itu, bahkan tempat duduk blok pembangkang juga kosong sejak sesi perbahasan bermula.
"Agak menyedihkan, sudah pukul 3.45 petang, hampir lebih sejam sesi perbahasan bermula, masih tiada lagi pembangkang di dalam dewan ini," katanya.
RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangun mencelah ketika perbahasan itu pula mencadangkan supaya elaun kehadiran Ahli Parlimen pembangkang digantung berikutan tindakan mereka.
Antara Ahli Parlimen lain yang turut mengecam tindakan pembangkang termasuk Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Cha Kee Chin (PH-Rasah) dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran).
Sementara itu, Syahredzan Johan (PH-Bangi) pada sidang media berkata walaupun LKAN tidak pernah dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat, ia tidak menjadi kesalahan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa pembangkang.
Terdahulu pada sidang Dewan Rakyat di sebelah pagi, Johari memutuskan usul berkenaan dibentang dan dibahaskan seperti yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat, berikutan permintaan rakyat dan pegawai agar laporan berkenaan dibincangkan secara terbuka, khususnya yang melibatkan kewangan negara.
Persidangan Dewan Rakyat turut tergendala hampir 30 minit sebelum persidangan berhenti rehat apabila Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bertikam lidah mengenai keperluan usul itu dibahaskan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangkit membantah dengan menyatakan sepanjang sejarah Parlimen, LKAN tidak pernah dibahaskan dan sebaliknya menjadi tugas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk membuat teguran dan dapatan.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #laporan ketua audit #blok pembangkang kosong #perbahasan LKAN
;