Parlimen: Beli tiket penerbangan seawal mungkin untuk harga lebih murah - Hasbi

Ridauddin Daud
Oktober 28, 2024 13:18 MYT
Hasbi berkata, bagi mendapatkan harga tiket lebih murah, khususnya ketika musim perayaan, pelanggan digalakkan membeli tiket penerbangan seawal mungkin. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan bersetuju untuk menambah kapasiti penerbangan dari semasa ke semasa sebagai salah satu usaha menangani masalah harga tiket penerbangan yang tinggi ketika musim puncak.

Ringkasan AI
  • Penambahan Kapasiti Penerbangan: Syarikat penerbangan akan menambah kapasiti penerbangan secara berkala untuk mengatasi masalah harga tiket yang tinggi semasa musim puncak, hasil perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan MAVCOM.
  • Pembelian Tiket Awal: Pelanggan digalakkan membeli tiket penerbangan seawal mungkin, idealnya sembilan bulan sebelum tarikh penerbangan, untuk mendapatkan harga yang lebih murah, terutama semasa musim perayaan.
  • Menangani Pembatalan Penerbangan: Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah memaklumkan penumpang mengenai pembatalan sementara penerbangan dari Ogos hingga Disember 2024 dan menawarkan peruntukan semula tiket atau bayaran balik kepada penumpang yang terjejas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, itu dapatan diperolehi hasil perbincangan Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bersama syarikat penerbangan baru-baru ini.
Begitupun, katanya, bagi mendapatkan harga tiket lebih murah, khususnya ketika musim perayaan, pelanggan digalakkan membeli tiket penerbangan seawal mungkin.
“Kebiasaannya, syarikat penerbangan akan mula menjual tiket seawal sembilan bulan sebelum tarikh penerbangan.
“Apabila harga tiket disemak satu atau dua minggu sebelum tempoh perjalanan, harga tiket kebiasaannya sudah tinggi.
“Ini adalah kerana harga tiket di bakul yang murah sudah habis dijual dan harga tiket di bakul yang tinggi sahaja yang tinggal.
“Secara purata harga tiket sehala di bakul yang tertinggi adalah sehingga 10 peratus daripada keseluruhan tiket yang dijual semasa musim puncak.
“Secara purata harga tiket sehala dibakul yang lebih rendah iaitu RM599 ke bawah adalah sehingga 60 peratus daripada keseluruhan tiket yang dijual semasa musim puncak,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin, menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen berkaitan pendekatan kerajaan dalam menangani isu harga tambang penerbangan yang tinggi terutamanya ketika musim perayaan.
Dalam pada itu, menjawab soalan berkaitan pengguna yang terjejas daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB), beliau memaklumkan pembatalan sementara bagi penerbangan terjejas dari Ogos hingga Disember 2024 sudah dimaklumkan kepada penumpang..
Menurutnya, segala proses pemakluman itu kebanyakannya telah selesai dan MAB beroperasi seperti biasa.
Tambah beliau, selepas ini MAB hanya akan membatalkan penerbangan apabila ada keperluan untuk membatalkan penerbangan jika ia melibatkan faktor keselamatan.
“Bagi pengguna yang terjejas akibat daripada pembatalan penerbangan MAB, telah ditawarkan peruntukan semula tiket penerbangan.
“Ia meliputi, pertamanya, penumpang akan diperuntukkan semula tiket penerbangan pada sehari sebelum atau selepas penerbangan asal, atau penerbangan berikutnya yang tersedia.
“Kedua, pilihan pertama peruntukan semula yang ditawarkan adalah kepada mana-mana penerbangan MAB yang tersedia. Sekiranya penerbangan MAB tidak tersedia, maka peruntukan tiket baru menggunakan syarikat penerbangan yang lain akan disediakan.
“Ketiga, setelah penumpang dimaklumkan tentang pelan peruntukan semula berkenaan, penumpang masih mempunyai pilihan sama ada untuk menerima, mengubah suai atau meminta bayaran balik,” katanya.
#Hasbi Habibollah #Malaysia Airlines #Harga tiket penerbangan #mavcom #musim perayaan #Dewan Rakyat #Parlimen
;