Parlimen bakal anjur program lahir generasi lebih peka fungsi Parlimen

Bernama
Januari 20, 2025 23:38 MYT
Johari berkata program itu akan menyasarkan ketua pelajar daripada lebih 2,000 sekolah menengah di seluruh negara. - Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Parlimen Malaysia akan mengadakan program dengan usahama sekolah-sekolah menengah luar bandar dalam misi untuk terus merakyatkan institusi parlimen selain melahirkan generasi pemimpin masa depan yang lebih peka tentang badan legislatif itu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata program itu akan menyasarkan ketua pelajar daripada lebih 2,000 sekolah menengah di seluruh negara.
Katanya menerusi program ini, pelajar akan didedahkan dengan fungsi dan sistem parlimen di Malaysia, selain sesi bertemu Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan lawatan ke agensi kerajaan.
"Setiap minggu akan ada lawatan dari dua daerah, melibatkan 80 pelajar. Kita anjur lawatan dua hari ni untuk sekolah-sekolah yang di luar bandar dan pedalaman yang sukar untuk datang sendiri ke Parlimen.
"Harapan kita apabila ketua-ketua pelajar ini kembali ke sekolah, mereka boleh kongsi ilmu ini dengan pelajar lain dan kembali menyertai kita di Parlimen Belia sekali gus menjadi pemimpin di masa depan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata program itu juga adalah sebahagian daripada usaha Parlimen Malaysia bagi menyokong perkembangan demokrasi di Malaysia.
Johari berada di Singapura untuk bertemu Speaker Parlimen Singapura Seah Kian Peng sebagai sebahagian siri jelajah ke negara ASEAN bagi meningkatkan kerjasama institusi Parlimen di rantau ini.
Beliau yang juga Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 akan melawat Brunei, Filipina, dan Indonesia bagi tujuan sama.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #ASEAN #Parlimen #Belia
;