Parlimen: 'Backbenchers' dibenarkan aju lebih soalan

Umavathi Ramayah
Oktober 14, 2024 13:24 MYT
Pihak penyokong kerajaan atau backbenchers dibenar untuk mengajukan lebih banyak soalan dalam kedudukan 10 teratas bagi sesi soal jawab lisan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pihak penyokong kerajaan atau backbenchers dibenar untuk mengajukan lebih banyak soalan dalam kedudukan 10 teratas bagi sesi soal jawab lisan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ringkasan AI
  • Yang Dipertua Dewan Rakyat membenarkan peningkatan jumlah soalan daripada penyokong kerajaan dalam kedudukan 10 teratas sesi soal jawab lisan, atas permohonan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan.
  • Keputusan ini dibuat kerana bilangan ahli penyokong kerajaan (93) lebih ramai berbanding ahli pembangkang (75), dan tiada peraturan yang menetapkan susunan pertanyaan bagi jawab lisan.
  • Ahli Parlimen pembangkang memohon agar keputusan ini dikaji semula kerana dianggap tidak adil, namun Yang Dipertua Dewan Rakyat mengekalkan keputusan tersebut buat masa ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata keputusan itu dibuat susulan permohonan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) untuk meningkatkan jumlah pertanyaan pihak penyokong kerajaan kepada enam soalan, atas alasan bilangan mereka lebih ramai berbanding pihak Ahli Parlimen Pembangkang.
"Untuk maklumkan Ahli Yang Berhormat, saya telah menerima permohonan daripada Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan untuk meningkatkan jumlah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di pihak backbenchers iaitu enam pertanyaan dalam kedudukan 10 teratas Aturan Pertanyaan atas alasan bilangan ahli menyokong melebihi bilangan ahli pembangkang.
"Untuk pengetahuan, terdapat 93 ahli penyokong kerajaan dan 75 ahli pembangkang di Dewan Rakyat ini. Peraturan Majlis Mesyuarat tidak menetapkan syarat mengenai susunan pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.
"Mulai Mesyuarat Ketiga Parlimen ke-15 di bawah Peraturan Mesyuarat 100, saya membenarkan agar lebih pertanyaan bagi jawab lisan bagi pihak penyokong kerajaan dalam kedudukan 10 teratas aturan pertanyaan," katanya dalam ucapan pemasyuran persidangan Parlimen, di sini, pada Isnin.
Johari berkata ketetapan itu bukan bermaksud untuk mengehadkan suara mana-mana pihak, selain beliau akan mengkaji ketetapan itu dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, beberapa ahli Parlimen dari blok pembangkang termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) memohon Johari untuk mengkaji semula ketetapan itu kerana disifatkannya sebagai tidak adil.
Menurut Takiyuddin, Ahli Parlimen pembangkang seharusnya diberi peluang sama rata dalam memastikan proses semak dan imbang.
"(Setakat ini) Saya kekalkan keputusan saya hingga saya fikir balik sama ada perlu tukar atau tidak," kata Johari.
#Takiyuddin Hassan #Dewan Rakyat #pembangkang #Parlimen #Johari Abdul
;