Parlimen: Audit ke atas 2,000 syarikat GLC bakal 'cetus' kejutan - Anwar
Umavathi Ramayah
Oktober 22, 2024 12:40 MYT
Oktober 22, 2024 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju supaya Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan era tadbir urus lebih baik, selain untuk memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga selari dengan hasrat untuk memastikan syarikat kerajaan diurus mengikut mandat sebenar khususnya demi kesejahteraan ekonomi rakyat.
"Ini akan memberikan peringatan bahawa tidak harus berlaku apa-apa kecurangan dalam agensi-agensi berkenaan.
"Gesaan supaya terus diberi pemantauan (terhadap GLC) dan kita telah bersetuju bahawa Ketua Audit Negara audit semua 2,000 GLC ini supaya jadi kejutan (peringatan) kepada semua (supaya) lebih bertanggungjawab.
"Kadang-kadang pelanggaran (dalam tadbir urus) itu masih berlaku (dan) berterusan di beberapa peringkat.
"Tidak ada jalan lain untuk kita jalankan audit dan pantau terus. Saya yakin tindakan ini bakal menjadi kejutan, sekali gus memastikan semua pihak lebih bertanggungjawab," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pelan tindakan di bawah agenda reformasi khusus buat GLIC, GLC dan agensi demi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan tanggungjawab sosioekonomi nasional tercapai tanpa menjejaskan daya maju, daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia dan GLC itu sendiri.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan semua pengurusan GLC yang berdepan kerugian dan pengurusan yang tidak teratur supaya memperbaiki prestasi masing-masing.
"Syarikat yang tidak catat keuntungan atau pengurusan yang lemah harus ambil tanggungjawab mereka (untuk baiki prestasi)," katanya.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebelum ini dilapor berkata, JAN akan melakukan pengauditan terhadap 2,000 GLC bermula tahun depan.
Ia susulan pindaan Akta Audit 1957 pad Julai lalu membenarkan Ketua Audit Negara memeriksa, menyiasat dan mengaudit mana-mana badan lain termasuk syarikat didaftarkan mengikut Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang menerima jaminan kewangan Kerajaan Persekutuan atau negara.