Parlimen: 157,760 peluang pekerjaan diwujudkan hasil FDI 2017-2022

Hasimi Muhamad
Mei 22, 2023 12:00 MYT
Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat, peluang pekerjaan itu terhasil daripada 1,392 projek pemilikan asing bernilai RM426.6 bilion. - Fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 157,760 peluang pekerjaan dalam negara telah diwujudkan hasil daripada pelaburan langsung asing (FDI) sejak 2017 hingga 2022.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Liew Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat, daripada jumlah tersebut 133,117 atau 84.3 peratus adalah untuk pekerja tempatan, manakala selebihnya iaitu 26,643 merupakan pekerja asing.
Beliau menambah, peluang pekerjaan itu terhasil daripada 1,392 projek pemilikan asing bernilai RM426.6 bilion.
"Bagi sektor perkilangan, sebanyak 1,164 projek perkilangan yang melibatkan pelaburan bernilai RM329.9 bilion telah direalisasikan dan mewujudkan 150,873 peluang pekerjaan.
"Lima industri perkilangan utama melibatkan pemilikan asing yang mewujudkan jumlah pekerjaan tertinggi adalah; industri elektrik dan elektronik (75,593 pekerjaan), barangan logam asas (14,477 pekerjaan), jentera dan kelengkapan (7,001 pekerjaan), barangan galian bukan logam (6,820 pekerjaan) dan barangan getah (5,721 pekerjaan)," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Chin Tong (PH-Iskandar Puteri) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang meminta menyatakan jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan hasil daripada FDI sejak 2017 hingga 2022.
Bagi sektor perkhidmatan, beliau berkata sebanyak 228 projek dengan pelaburan bernilai RM96.7 bilion telah direalisasikan bagi tempoh sama, dan mewujudkan 6,887 peluang pekerjaan.
"Tiga subsektor utama yang mewujudkan jumlah pekerjaan tertinggi adalah; pertubuhan global (3,197 pekerjaan), perkhidmatan sokongan (1,481 pekerjaan) dan perkhidmatan kesihatan (1,303 pekerjaan)," katanya lagi.
#JOHARI ABDUL GHANI #Liew Chin Tong #Peluang pekerjaaan Malaysia #FDI #Parlimen #Dewan Rakyat
;